Related Posts with Thumbnails

Saturday, February 28, 2009

Bersediakah Kita untuk Menjadi Guru Mithali (khusus kepada bakal pendidik)


Buat mereka yang bakal menceburi profesion perguruan selepas tamat belajar nanti wajarlah direnung daripada sekarang apakah yang kita mahu persembahkan kepada para pelajar di sekolah nanti. Terdetik dihati saya untuk menulis tentang bidang yang saya sendiri sekarang ini sedang di dalam proses untuk bergelar guru, mungkin panggilannya ustaz barangkali. Bagi pelajar fakulti pendidikan dan mereka yang berminat bidang perguruan tidak kira apa pun program yang diambil, sewajarnya persediaan untuk kita telah bermula dari sekarang, selain persedian ilmu, persediaan akhlak juga merupakan perkara penting. Guru yang baik ialah guru yang berkemampuan melahirkan anak murid yang baik, tidak sekadar pada akademiknya sahaja malahan juga pada pembentukan sahsiah dan peribadinya. Sesungguhnya itulah perkara yang lebih utama. Saya cukup risau tanpa persedian yang cukup untuk menjadi seorang guru, kita tidak dapat membimbing pelajar dengan sebaiknya.

Melihat kepada kebejatan masalah sosial dikalangan pelajar sekolah sekarang, sesungguhnya wajar menjadi perhatian kepada mereka yang bakal bergelar guru, itulah cabaran yang bakal menanti kita. Kita bukan sekadar untuk memenuhi kuota guru ataupun hanya untuk mendapatkan kerja dan menerima gaji yang tetap pada setiap bulan, akan tetapi kita perlu ingat akan tanggungjawab yang perlu dipikul. Kitalah yang akan membentuk generasi yang akan datang dengan sebaik mungkin. Mungkin disini saya boleh berkongsi sedikit persediaan yang perlu untuk kita bersama.

Perkara yang paling utama ialah adab ketika bersama pelajar, kita perlu tunjukkan model yang terbaik samaada dari segi akhlak, berpakaian dan berinteraksi. Kata pepatah ada menyebut “guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”. Pelajar akan meniru perbuatan serta perangai guru. Jika akhlak guru buruk, maka akhlak pelajar juga akan turut buruk malah mungkin menjadi lebih teruk lagi. Selain itu kita sebagai seorang guru perlu kasihi pelajar seperti kita mengasihi adik-adik kita, janganlah bersikap memilih kasih dalam memberi ilmu kepada pelajar. Dengarlah pendapat mereka dan jangan menolak mentah-mentah. Lagi satu jangan menghukum atau mendenda pelajar dengan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah mereka seperti berjalan itik sekeliling sekolah, duduk separuh dihadapan perhimpunan, bernyanyi entah apa-apa, berguling-guling juga ada( mungkin ada yang pernah alaminya)dan seumpamanya tetapi hukuman itu mestilah punyai rasional tersendiri seperti merotan dan sebagainya.
Satu perkara lagi yang perlu kita ingat ialah adab atau pergaulan sesama guru, hormat menghormati perlu dikalangan guru penting supaya dapat bekerjasama dengan baik, elakkan perselisihan faham sesama guru dan jangan timbulkan `kem-kem’ atau klick-klick misalnya fahaman politik yang berbeza, berbeza fikrah atau sebagainya. Jangan jadikan perkara ini sebagai batu sempadan untuk merencatkan hubungan baik sesama guru.

Sebenarnya banyak perkara lagi yang perlu untuk persediaan menjadi sebagai seorang pendidik. Melihat gelagat pelajar fakulti pendidikan khususnya UKM yang bakal bergelar pendidik, kadang-kadang dapat membayangkan dunia pendidikan pada masa hadapan, baik yang bakal bergelar guru, ustaz mahupun ustazah. Saban tahun universiti-universiti yang punyai bidang pendidikan melahirkan ribuan bakal guru. Maka diharapkan mereka yang bakal bergelar pendidik akan Berjaya membentuk diri mereka menjadi guru mithali selain berusaha menbantu untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berilmu serta bertaqwa. Perkara yang lebih utama lagi dapat mendidik diri kita dan para pelajar supaya mengerti hakikat kehidupan kita di atas dunia ini, untuk apa? Dan siapa? Dan di manakah kesudahanya. Wallahua`lam

Monday, February 23, 2009

PPSMI Peningkan Kepala......


Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) bukan lagi isu baru yang baru diperkatakan . mengenai isu ini banyak pihak telah tampil memberi pelbagai reaksi, tidak kira di pihak kerajaan, pembangkang, NGO, penggiat seni dan pelbagai lagi. Berbagai-bagai pandangan, kritikan, kajian demi kajian, teori dibentangkan serta dibahaskan dan seumpamanya lagi bagi mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikan dan merungkai permasalahan yang timbul.


Sebagai seorang mahasiswa, saya merasakan perkara ini perlu dipertimbangkan sehingga ke akar umbi, jangan hanya melihat dari sudut mata kasar sahaja, yang akan menanggungnya rakyat jelata. Oleh kerana itu saya merasakan PPSMI ini perlu dimansuhkan bagi kesejahtraan bersama. Jika melihat dari sudut undang-undang PPSMI ini ternyata salah dan bertentangan dengan perlembagaan Malaysia sendiri, iaitu Akta Pelajaran 1996,jika pihak kerajaan sendiri tidak dapat mengikut perlembagaan bagaimana hendak mentadbir sesebuah negara, bagaimana pula rakyat yang sentiasa percaya kepada perlembagaan Malaysia, hanya di tipu mainan politik pemerintah. Jika melihat perjuangan UMNO berteraskan kepada kemelayuan bangsa, tetapi mereka juga yang mencipta PPSMI, begitu retorik sekali perjuangan yang dilaungkan selama ini. Keluhuran perlembagaan di robek dan kedaulatan undang-undang dipersenda.


Malaysia telah merdeka hampir 52 tahun tetapi ideologi penjajah masih mahu diterapkan lagi, maka sia-sialah perjuangan tokoh dahulu dalam memerdekakan Malaysia jika anak jati Malaysia sendiri memperjuangkan ideologi pemerintah, mungkin layak untuk dipanggil pengkhianat bangsa. Masa depan anak bangsa Malaysia yang punyai jati diri pada masa akan datang akan dihakis dan mungkin akan pupus tanpa jati diri bangsa sendri.


Jika PPSMI ini dijadikan alasan untuk lebih berdaya bersaing dan maju kehadapan pada masa akan datang dalam menerokai sesuatu bidang, maka melesetlah tafsiran itu, banyak Negara telah membuktikan. negara benua Afrika yang menjadikan Bahasa Ingggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, lihatlah sejauh mana kemajuan yang dicapai, contoh terdekat Negara Filipina yang juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai keutamaan dalam pendidikan, adakah tergolong dalam Negara maju sekarang. sebaliknya pula jika melihat Negara seperti Jepun, China, Korea, Perancis dan banyak lagi yang tergolong dalam Negara maju menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa kebanggaan dan digunakan sepenuhnya dalam bidang pendidikan.


Oleh itu marilah kita semua menyokong untuk mendesak PPSMI ini agar dapat dimansuhkan bagi meningkatkan lagi prestasi dikalangan pelajar khususnya penduduk luar Bandar dan pedalaman, kepada seluruh mahasiswa marilah bersama-sama menyokong memansuhkan PPSMI, seiring nilai keintektulalan yang ada, jangan hanya terus membisu dalam soal permasalahan berkaitan pendidikan, justeru marilah kita ramai-ramai turun untuk menyertai himpunan raksaksa yang diadakan pada 7 mac 2009 bertempat di hadapan Istana Negara, jam 2 petang bagi menyatakan bantahan kita. Menbina ketemadunan beracuankan bangsa sendiri…..

Sunday, February 15, 2009

MEMPERINGATI HARI SEORANG YANG DIKASIHI..


Kadang-kadang susah benar untuk menekan laptop untuk menaip sesuatu perkara dan mengulas sesuatu cerita, tetapi yakin dan percaya semua isu-isu berbangkit yang kita dapat lihat samada dalam Negara ataupun luar Negara kita semua dapat mengetahui dan mengikuti. jadi pada kali ini teringat tentang sambutan hari kekasih yang menjadi acara tahunan bagi mereka yang punyai kekasih, pada zaman sekarang digelar sebagai “couple” . yang tanpa disedari sambutan hari valentine ini merupakan agenda yang telah meresap masuk dalam adat orang melayu beragama islam, ini merupakan satu unsur yang secara halus merosakkan nilai islam yang ada dikalangan remaja islam. Mungkin kita telah membaca banyak artikel tentang sejarah sambutan hari valentine.

Bila mana tibanya hari valentine ini, satu perkara yang saya akan ingat dan tidak akan dilupakan ialah ibu tercinta, mungkin mengingati kekasih yang dimaksudkan ialah ibu tetapi pada tarikh yang sama juga merupakan tarikh lahir ibunda tercinta. Selama ini jasa dan bakti yang dicurahkan tidak mungkin dapat dinilai apatah lagi untuk membalas. saya bangga menjadi anak kepada seorang wanita yang begitu tabah mendidik anak sehingga dewasa. Sebagai seorang anak yang mampu untuk berfikir secara waras apabila semakin dewasa sudah tentu dapat menilai dengan jelas dan nyata.

Seorang wanita yang membesarkan anak seramai 8 orang tanpa suami disisi,atas jemputan Ilahi. bermula dari yang paling kecil pada usia 2 tahun sehinggalah yang paling besar berusia 17 tahun. Ketika itu penulis hanya baru berusia 6 tahun. Semua perkara perlu untuk diaturkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui, membesar tanpa seorang ayah mungkin sedikit berbeza dengan yang punyai ayah. Tetapi ini bukanlah menjadi alas an untuk tidak Berjaya, sirah Nabi juga telah membuktikan Rasulullah sendiri dilahirkan tanpa melihat ayah dan ketika masih kecil permergian ibu baginda. Bukan bermaksud untuk bercerita tentang perihal keluarga dan peribadi. Tetapi sebagai seorang anak perlu sedar tentang erti pengorbanan ibu dan ayah. Kadang-kadang kita lupa apakah tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Memohon ampun dan maaf perlu untuk kita sama-sama kita ungkapkan setiap masa dan waktu untuk mereka. Jikalau hari ini kita boleh berbangga kita Berjaya menjejak kaki ke menara gading, kebanggaan yang kita bawa ialah semangat dari ibu dan ayah kita. Jikalau hari ini kita boleh berbangga punyai ramai rakan-rakan yang berpendidikan, kita perlu ingat dimana kita bermula. Ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang tanpa minta dibalas, dengan harapan dapat menjadi anak yang soleh dan solehah. Sebagaimana hadis nabi saw yang bermaksud :

“bila mati anak adam maka akan terputuslah semua amalanya kecuali tiga perkara iaitu amal soleh yang dikerjakan semasa hidup, ilmu yang dimanfaatkan serta anak soleh yang mendoakan.”

Perkara ini jelas, mahu tidak mahu kita perlu untuk menjadi anak yang soleh agar dapat mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa. mungkin sekarang kita sebagai seorang anak kepada ibu dan bapa kita, pada masa akan datang kita pula yang menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak kita. Jika tidak mahu kita kecewa pada masa akan datang maka buatlah yang terbaik sebagai seorang anak pada waktu sekarang. wallahua`lam……………..

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP