Related Posts with Thumbnails

Tuesday, April 21, 2009

BENARKAH POLITIK (SIASAH) DIKATAKAN KOTOR



Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentng perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan oleh sesetengah pihak. Ditambah pula keadaan politik yang berlaku sekarang.

Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebih-lebih lagi tiada mana negara-negara umat Islam yang menjalankan sistem politik yang berasaskan Siasah Syariah sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senario politik menunjukkan, bahawa negara-negara umat Islam samaada Negara arab ataupun bukan cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya, termasuklah Malaysia sendiri.

Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemdian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projek-projek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup. Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka. Tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?

Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah. Ia bertujuan mendidik rakyat agar sentiasa menjadi orang yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdiskusi bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi. Jika pelaksanaan sistem politik dalam sesebuah negara berjalan mengikut kebenaran wahyu Ilahi, maka sesuatu penyelewengan dalam sistem politik tidak akan berlaku seperti yang dikatakan.

Politik merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri. Ada pun dari sudut praktikal ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w., kerana sejarah telah membuktkan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik sepanjang zaman.

Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan Khulafa Rasyidun yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental. Sebagai ahli politik berpengaruh yang mentadbir negara, baginda meletakkan asas-asas keimanan menjadi agenda utama dalam diri segenap manusia tanpa mengira perbezaan skaum, malah telah menyediakan dasar dalam dan luar negara yang komited kepada Islam.

Kejayaan baginda itu ditiru dan diteruskan oleh para pemimpin selepas kewafatan baginda seperti Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan beberapa pemerintah selepas itu.

Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negara-negara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendaptkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undang-undang barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.

Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam. Mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengtamakan akal semata-mata.

Justeru itu, lahirlah gerakan-gerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Hamas di Palestin, PAS di Malaysia dan sebagainya yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.

Sikap dan tindakan berani gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam bukan hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surau-surau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik. Inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.

Tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain- wallahua`lam…

0 comments:

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP