Related Posts with Thumbnails

Wednesday, March 18, 2009

MAHASISWA MENDEPANI ISU-ISU SEMASA

Monday, March 9, 2009

Betulkah Kita Benar-Benar Mencintai Rasulullah....


Pertama kali diucapkan selamat menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w kepada semua kaum muslimin dan muslimat, semoga sambutan kali ini memberi nafas baru kepada kita untuk menjadikan segenap ajaran baginda inspirasi menuju kecemerlangan hakiki. Namun apa yang perlu diutarakan ialah satu persoalan yang mungkin tidak terlintas dalam pemikiran kita semua, berhubung kebenaran kecintaan dan ikutan kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w

Isu perarakan yang dilakukan pada awal pagi 12 Rabiulawal saban tahun seolah-olah menggambarkan bahawa rakyat Malaysia yang beragama Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencintai Rasulullah, tetapi apakah benar mereka mencintai Rasulullah setelah selesai melakukan perarakan?. Sesungguhnya kecintaan terhadap Rasulullah tidak terhenti pada majlis perarakan, kalau itu yang berlaku, ia bermakna tidak ada perbezaan dengan tindakan Abu Lahab (Pak Cik Nabi) setelah mengetahui bahawa Rasulullah diputerakan, lantas beliau mendakap jasad baginda yang mulia dan membawanya mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan (serupa amalan tawaf mengelilingi Kaabah). Tetapi apa yang terjadi kepada Abu Lahab setelah baginda meningkat dewasa dan dilantik pula menjadi Rasul terakhir, beliaulah orang yang paling keras menentang kebenaran yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri.

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam dalam negara kita, pada waktu pagi berarak, dan di waktu petang hari melakukan tindakan yang menentang Islam dengan penganjuran program maksiat, di UKM ini sendiri kita dapat lihat, bagaiamana kolej-kolej kediaman berlumba-lumba menganjurkan konsert-konsert dan program yag berbentuk hiburan, begitu mudah pula pihak pentadbiran meluluskan program sebegeni rupa, membiarkan bulan Rabiulawal yang mulia ini dicemari sedangkan program-program berbentuk keilmuan begitu susah mendapat kelulusan, mungkin di fikiran mereka mahu melahirkan mahasiswa yang pandai berhibur dan tahu berseronok tanpa batasan. Pada masa akan datang maka akan lahirlah pemimpin-pemimpin yang punyai idea yang banyak tentang bagaimana untuk berhibur bukan memikirkan hal rakyat yang menderita, Contoh sebahagian pemimpin yang ada sekarang…

Apabila ada dikalangan mahasiswa Islam yang punyai kesedaran bangun untuk menyedarkan, menyatakan pandangan dan pendapat, ada pula konco-konco Iblis dan syaitan ini menghalang, memberi amaran dan seumpamanya. Mungkin ada dikalangan mereka mahu menjaga periuk nasi mereka, tetapi sedarkah mereka rezeki yang dapat itu hanya dariNya jua. Sedarlah !!! kepada mereka yang terbabit jangan sampai sanggup menggadai maruah Islam hanya sekadar mengikut arahan orang atasan, arahan yang Maha Esa di abaikan,tidak mungkin redha Allah akan menaungi kalian…

Tidakkah golongan seperti ini perlu memerhatikan ayat Allah menerusi surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: Katakanlah Wahai Muhammad (kepada umatmu) Jika kamu cintakan Allah, maka ikutlah aku, pasti Allah cinta kepada kamu.

Dalam ayat 21 surah al-Ahzab, Allah menegaskan bahawa: Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan ikutan yang baik.

Sementara dalam ayat 8 surah as-Soff maksudnya: Dialah (Allah) mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dengannya dapat mengalahkan agama seluruhnya walaupun tindakan baginda itu tidak disukai oleh golongan orang-orang musyrikin.

Apabila kita merujuk kepada ketiga-tiga ayat di atas, yang menganjurkan kepada kita agar mencintai baginda, menjadikan baginda contoh teladan, membawa petunjuk ke jalan kebenaran, dan banyak lagi, tetapi adakah kita telah mengikut saranan ayat-ayat di atas.

Umat hari ini mereka bangga dapat menganjurkan perarakan maulidur rasul malah setiap tahun semakin besar, tetapi mereka sebenarnya membenci sunnah-sunnah Nabi, berarak tanpa ada kesedaran, keseronokan pula yang dicari, contoh yang jelas melantik para pemimpin yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah sampai hari ini walaupun negara sudah merdeka lebih lima puluh tahun. Orang yang cintakan Rasulullah s.a.w mana mungkin mahu menolak hukum-hukum Allah..

Mereka juga tidak menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai contoh dalam segenap aspek kehidupan sebagai muslim, ini termasuk dalam aspek pentadbiran negara, institusi kewangan, kemasyarakatan, persekitaran dan lain-lain, semuanya diikat dengan sistem Sekularisme, Kapitalisme dan lain-lain.

Inilah yang dikatakan bahawa kalau tidak mahu terima Islam sebenar, itu adalah haknya untuk menolak, tetapi jangan sampai mengajak orang ramai (rakyat) menentangnya juga. Ingatlah apa yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar Bin al-Khattab: "Dulu kami adalah golongan yang hina kerana menolak Islam, kemudian Allah muliakan kami dengan Islam, tetapi apabila jika kami mencari kemuliaan selain daripada Islam, pasti Allah akan timpakan penghinaan atas diri kami". Wallahua`lam…

Thursday, March 5, 2009

BANTAH PPSMI

Saturday, February 28, 2009

Bersediakah Kita untuk Menjadi Guru Mithali (khusus kepada bakal pendidik)


Buat mereka yang bakal menceburi profesion perguruan selepas tamat belajar nanti wajarlah direnung daripada sekarang apakah yang kita mahu persembahkan kepada para pelajar di sekolah nanti. Terdetik dihati saya untuk menulis tentang bidang yang saya sendiri sekarang ini sedang di dalam proses untuk bergelar guru, mungkin panggilannya ustaz barangkali. Bagi pelajar fakulti pendidikan dan mereka yang berminat bidang perguruan tidak kira apa pun program yang diambil, sewajarnya persediaan untuk kita telah bermula dari sekarang, selain persedian ilmu, persediaan akhlak juga merupakan perkara penting. Guru yang baik ialah guru yang berkemampuan melahirkan anak murid yang baik, tidak sekadar pada akademiknya sahaja malahan juga pada pembentukan sahsiah dan peribadinya. Sesungguhnya itulah perkara yang lebih utama. Saya cukup risau tanpa persedian yang cukup untuk menjadi seorang guru, kita tidak dapat membimbing pelajar dengan sebaiknya.

Melihat kepada kebejatan masalah sosial dikalangan pelajar sekolah sekarang, sesungguhnya wajar menjadi perhatian kepada mereka yang bakal bergelar guru, itulah cabaran yang bakal menanti kita. Kita bukan sekadar untuk memenuhi kuota guru ataupun hanya untuk mendapatkan kerja dan menerima gaji yang tetap pada setiap bulan, akan tetapi kita perlu ingat akan tanggungjawab yang perlu dipikul. Kitalah yang akan membentuk generasi yang akan datang dengan sebaik mungkin. Mungkin disini saya boleh berkongsi sedikit persediaan yang perlu untuk kita bersama.

Perkara yang paling utama ialah adab ketika bersama pelajar, kita perlu tunjukkan model yang terbaik samaada dari segi akhlak, berpakaian dan berinteraksi. Kata pepatah ada menyebut “guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”. Pelajar akan meniru perbuatan serta perangai guru. Jika akhlak guru buruk, maka akhlak pelajar juga akan turut buruk malah mungkin menjadi lebih teruk lagi. Selain itu kita sebagai seorang guru perlu kasihi pelajar seperti kita mengasihi adik-adik kita, janganlah bersikap memilih kasih dalam memberi ilmu kepada pelajar. Dengarlah pendapat mereka dan jangan menolak mentah-mentah. Lagi satu jangan menghukum atau mendenda pelajar dengan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah mereka seperti berjalan itik sekeliling sekolah, duduk separuh dihadapan perhimpunan, bernyanyi entah apa-apa, berguling-guling juga ada( mungkin ada yang pernah alaminya)dan seumpamanya tetapi hukuman itu mestilah punyai rasional tersendiri seperti merotan dan sebagainya.
Satu perkara lagi yang perlu kita ingat ialah adab atau pergaulan sesama guru, hormat menghormati perlu dikalangan guru penting supaya dapat bekerjasama dengan baik, elakkan perselisihan faham sesama guru dan jangan timbulkan `kem-kem’ atau klick-klick misalnya fahaman politik yang berbeza, berbeza fikrah atau sebagainya. Jangan jadikan perkara ini sebagai batu sempadan untuk merencatkan hubungan baik sesama guru.

Sebenarnya banyak perkara lagi yang perlu untuk persediaan menjadi sebagai seorang pendidik. Melihat gelagat pelajar fakulti pendidikan khususnya UKM yang bakal bergelar pendidik, kadang-kadang dapat membayangkan dunia pendidikan pada masa hadapan, baik yang bakal bergelar guru, ustaz mahupun ustazah. Saban tahun universiti-universiti yang punyai bidang pendidikan melahirkan ribuan bakal guru. Maka diharapkan mereka yang bakal bergelar pendidik akan Berjaya membentuk diri mereka menjadi guru mithali selain berusaha menbantu untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berilmu serta bertaqwa. Perkara yang lebih utama lagi dapat mendidik diri kita dan para pelajar supaya mengerti hakikat kehidupan kita di atas dunia ini, untuk apa? Dan siapa? Dan di manakah kesudahanya. Wallahua`lam

Monday, February 23, 2009

PPSMI Peningkan Kepala......


Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) bukan lagi isu baru yang baru diperkatakan . mengenai isu ini banyak pihak telah tampil memberi pelbagai reaksi, tidak kira di pihak kerajaan, pembangkang, NGO, penggiat seni dan pelbagai lagi. Berbagai-bagai pandangan, kritikan, kajian demi kajian, teori dibentangkan serta dibahaskan dan seumpamanya lagi bagi mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikan dan merungkai permasalahan yang timbul.


Sebagai seorang mahasiswa, saya merasakan perkara ini perlu dipertimbangkan sehingga ke akar umbi, jangan hanya melihat dari sudut mata kasar sahaja, yang akan menanggungnya rakyat jelata. Oleh kerana itu saya merasakan PPSMI ini perlu dimansuhkan bagi kesejahtraan bersama. Jika melihat dari sudut undang-undang PPSMI ini ternyata salah dan bertentangan dengan perlembagaan Malaysia sendiri, iaitu Akta Pelajaran 1996,jika pihak kerajaan sendiri tidak dapat mengikut perlembagaan bagaimana hendak mentadbir sesebuah negara, bagaimana pula rakyat yang sentiasa percaya kepada perlembagaan Malaysia, hanya di tipu mainan politik pemerintah. Jika melihat perjuangan UMNO berteraskan kepada kemelayuan bangsa, tetapi mereka juga yang mencipta PPSMI, begitu retorik sekali perjuangan yang dilaungkan selama ini. Keluhuran perlembagaan di robek dan kedaulatan undang-undang dipersenda.


Malaysia telah merdeka hampir 52 tahun tetapi ideologi penjajah masih mahu diterapkan lagi, maka sia-sialah perjuangan tokoh dahulu dalam memerdekakan Malaysia jika anak jati Malaysia sendiri memperjuangkan ideologi pemerintah, mungkin layak untuk dipanggil pengkhianat bangsa. Masa depan anak bangsa Malaysia yang punyai jati diri pada masa akan datang akan dihakis dan mungkin akan pupus tanpa jati diri bangsa sendri.


Jika PPSMI ini dijadikan alasan untuk lebih berdaya bersaing dan maju kehadapan pada masa akan datang dalam menerokai sesuatu bidang, maka melesetlah tafsiran itu, banyak Negara telah membuktikan. negara benua Afrika yang menjadikan Bahasa Ingggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, lihatlah sejauh mana kemajuan yang dicapai, contoh terdekat Negara Filipina yang juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai keutamaan dalam pendidikan, adakah tergolong dalam Negara maju sekarang. sebaliknya pula jika melihat Negara seperti Jepun, China, Korea, Perancis dan banyak lagi yang tergolong dalam Negara maju menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa kebanggaan dan digunakan sepenuhnya dalam bidang pendidikan.


Oleh itu marilah kita semua menyokong untuk mendesak PPSMI ini agar dapat dimansuhkan bagi meningkatkan lagi prestasi dikalangan pelajar khususnya penduduk luar Bandar dan pedalaman, kepada seluruh mahasiswa marilah bersama-sama menyokong memansuhkan PPSMI, seiring nilai keintektulalan yang ada, jangan hanya terus membisu dalam soal permasalahan berkaitan pendidikan, justeru marilah kita ramai-ramai turun untuk menyertai himpunan raksaksa yang diadakan pada 7 mac 2009 bertempat di hadapan Istana Negara, jam 2 petang bagi menyatakan bantahan kita. Menbina ketemadunan beracuankan bangsa sendiri…..

Sunday, February 15, 2009

MEMPERINGATI HARI SEORANG YANG DIKASIHI..


Kadang-kadang susah benar untuk menekan laptop untuk menaip sesuatu perkara dan mengulas sesuatu cerita, tetapi yakin dan percaya semua isu-isu berbangkit yang kita dapat lihat samada dalam Negara ataupun luar Negara kita semua dapat mengetahui dan mengikuti. jadi pada kali ini teringat tentang sambutan hari kekasih yang menjadi acara tahunan bagi mereka yang punyai kekasih, pada zaman sekarang digelar sebagai “couple” . yang tanpa disedari sambutan hari valentine ini merupakan agenda yang telah meresap masuk dalam adat orang melayu beragama islam, ini merupakan satu unsur yang secara halus merosakkan nilai islam yang ada dikalangan remaja islam. Mungkin kita telah membaca banyak artikel tentang sejarah sambutan hari valentine.

Bila mana tibanya hari valentine ini, satu perkara yang saya akan ingat dan tidak akan dilupakan ialah ibu tercinta, mungkin mengingati kekasih yang dimaksudkan ialah ibu tetapi pada tarikh yang sama juga merupakan tarikh lahir ibunda tercinta. Selama ini jasa dan bakti yang dicurahkan tidak mungkin dapat dinilai apatah lagi untuk membalas. saya bangga menjadi anak kepada seorang wanita yang begitu tabah mendidik anak sehingga dewasa. Sebagai seorang anak yang mampu untuk berfikir secara waras apabila semakin dewasa sudah tentu dapat menilai dengan jelas dan nyata.

Seorang wanita yang membesarkan anak seramai 8 orang tanpa suami disisi,atas jemputan Ilahi. bermula dari yang paling kecil pada usia 2 tahun sehinggalah yang paling besar berusia 17 tahun. Ketika itu penulis hanya baru berusia 6 tahun. Semua perkara perlu untuk diaturkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui, membesar tanpa seorang ayah mungkin sedikit berbeza dengan yang punyai ayah. Tetapi ini bukanlah menjadi alas an untuk tidak Berjaya, sirah Nabi juga telah membuktikan Rasulullah sendiri dilahirkan tanpa melihat ayah dan ketika masih kecil permergian ibu baginda. Bukan bermaksud untuk bercerita tentang perihal keluarga dan peribadi. Tetapi sebagai seorang anak perlu sedar tentang erti pengorbanan ibu dan ayah. Kadang-kadang kita lupa apakah tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Memohon ampun dan maaf perlu untuk kita sama-sama kita ungkapkan setiap masa dan waktu untuk mereka. Jikalau hari ini kita boleh berbangga kita Berjaya menjejak kaki ke menara gading, kebanggaan yang kita bawa ialah semangat dari ibu dan ayah kita. Jikalau hari ini kita boleh berbangga punyai ramai rakan-rakan yang berpendidikan, kita perlu ingat dimana kita bermula. Ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang tanpa minta dibalas, dengan harapan dapat menjadi anak yang soleh dan solehah. Sebagaimana hadis nabi saw yang bermaksud :

“bila mati anak adam maka akan terputuslah semua amalanya kecuali tiga perkara iaitu amal soleh yang dikerjakan semasa hidup, ilmu yang dimanfaatkan serta anak soleh yang mendoakan.”

Perkara ini jelas, mahu tidak mahu kita perlu untuk menjadi anak yang soleh agar dapat mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa. mungkin sekarang kita sebagai seorang anak kepada ibu dan bapa kita, pada masa akan datang kita pula yang menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak kita. Jika tidak mahu kita kecewa pada masa akan datang maka buatlah yang terbaik sebagai seorang anak pada waktu sekarang. wallahua`lam……………..

Sunday, January 25, 2009

MENGGUNUNG TINGGI TANGGUNGJAWAB PERLU DIPIKUL....


Setelah lama tidak menulis dalam ruangan maya ini, banyak perkara yang berlaku sepanjang masa ini tetapi tidak dapat dicoretkan disini untuk berkongsi bersama, bukan tak sempat nak menulis, banyak masa yang terluang sebenarnya tapi “mood” untuk menulis tu tak datang, lebih suka melihat dan memerhati. Lagi satu tak pandai mengolah ayat jadi bombastik. Pada ketika ini, ketegangan di GAZA semakin reda sekarang setelah hampir sebulan tentera Israel mengganas, menyaksikan ribuan yang terkorban, dan ramai yang cedera. Inilah satu kezaliman yang paling dasyat pernah berlaku. Keadaan GAZA ibarat penjara terbesar didunia, semua bantuan penyelamat disekat. Betullah janji Allah dalam al-quran yang berulang kali menyebut tentang kejahatan dan kedegilan kaum yahudi laknatullah. Sama-samalah kita menyumbang untuk kebangkitan Islam. Tidak terniat untuk menghurai tentang isu Palestin pada kali ini tetapi perkara inilah yang selalu terlintas di benak fikiran.

Pada pilihanraya kampus pada kali ini menyaksikan kebangkitan Pro Mahasiswa dalam mendominasi pemikiran masyarakat kampus, PRK UKM dapat menyaksikan Pro Mahasiswa dengan nama GMUKM dapat menafikan 2/3 kuasa Aspirasi dengan memenangi 12 kerusi, ini memberi isyarat yang jelas tentang kebangkitan MAHASISWA pada masa hadapan, PRK yang paling menarik berlaku di Universiti Malaya, persaingan antara Aspirasi dan Pro Mahasiswa begitu jelas, dan kemenangan yang dicapai penuh dengan signifikan tersendiri. Ucapan tahniah dan takziah kepada Pro Mahasiwa. Sekarang ialah pasca pilihan raya kampus, semua kampus telah melabuhkan tirai PRK masing-masing, kemenangan perlu diisi dan janji perlu untuk ditunaikan.

Kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu juga menunjukkan bahawa rakyat sudah bersedia untuk berubah, apatah lagi mahasiswa yang sentiasa terdedah dengan isu-isu semasa dan punyai pemikiran yang tajam untuk berfikir. Kepada penggerak mahasiswa kampus bersungguh-sungguhlah dalam gerak kerja kerana apa yang menanti selepas ini adalah lebih mencabar untuk dihadapi. Tanggugjwab bukan sekadar untuk dipikul kepada MPP yang telah menang akan tetapi merangkumi seluruh anggota yang terlibat bagi memastikan kerja yang terbaik dapat dicapai. Menggunung tanggungjawab yang perlu dipikul, setiap orang kena pastikan tugas masing-masing berfungsi dengan baik. Soal hati perlu dikepikan apa yang penting kejasama yang baik dapat diteruskan. Kemenangan bukanlah untuk kita bersenang lenang dan hanya memikirkan jawatan yang akan disandang tetapi landasan yang terbaik untuk kita buktikan kerja yang baik dapat dijalankan bagi memberi keyakinan untuk mencapai kemenangan yang lebih baik pada masa akan datang.

Bercakap tentang jawatan yang diberikan perlu dingat, ia merupakan amanah dan tanggungjawab untuk dipikul. Pada awal tahun ini jugalah peralihan jawatan akan bertukar tangan, kampus UKM menyaksikan semua persatuan dan kelab akan mengadakan AGM ataupun mensyuarat agung masing-masing dalam masa terdekat ini. Maka ramailah yang akan punyai jawatan masing-masing. Kepada mereka yang sudah terpilih, cubalah fikirkan jalan yang terbaik untuk melaksanakan jawatan yang diberikan. Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir untuk memegang jawatan kerana ramai lagi dikalangan mahasiswa yang lebih layak untuk jawatan yang diberikan. Universiti juga merupakan padang latihan terbaik(training ground) untuk mencungkil bakat kepimpinan yang ada, lapangan realiti akan menanti selepas ini, apabila berhadapan dengan masyarakat luar. Walau siapa pun kita, namun yang jelasnya tanggungjawab sebagai khalifah perlu kita fahami bersama sebagai hamba kepada Allah dimuka bumiNYa. Wallahua`lam…

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP