Related Posts with Thumbnails

Saturday, February 28, 2009

Bersediakah Kita untuk Menjadi Guru Mithali (khusus kepada bakal pendidik)


Buat mereka yang bakal menceburi profesion perguruan selepas tamat belajar nanti wajarlah direnung daripada sekarang apakah yang kita mahu persembahkan kepada para pelajar di sekolah nanti. Terdetik dihati saya untuk menulis tentang bidang yang saya sendiri sekarang ini sedang di dalam proses untuk bergelar guru, mungkin panggilannya ustaz barangkali. Bagi pelajar fakulti pendidikan dan mereka yang berminat bidang perguruan tidak kira apa pun program yang diambil, sewajarnya persediaan untuk kita telah bermula dari sekarang, selain persedian ilmu, persediaan akhlak juga merupakan perkara penting. Guru yang baik ialah guru yang berkemampuan melahirkan anak murid yang baik, tidak sekadar pada akademiknya sahaja malahan juga pada pembentukan sahsiah dan peribadinya. Sesungguhnya itulah perkara yang lebih utama. Saya cukup risau tanpa persedian yang cukup untuk menjadi seorang guru, kita tidak dapat membimbing pelajar dengan sebaiknya.

Melihat kepada kebejatan masalah sosial dikalangan pelajar sekolah sekarang, sesungguhnya wajar menjadi perhatian kepada mereka yang bakal bergelar guru, itulah cabaran yang bakal menanti kita. Kita bukan sekadar untuk memenuhi kuota guru ataupun hanya untuk mendapatkan kerja dan menerima gaji yang tetap pada setiap bulan, akan tetapi kita perlu ingat akan tanggungjawab yang perlu dipikul. Kitalah yang akan membentuk generasi yang akan datang dengan sebaik mungkin. Mungkin disini saya boleh berkongsi sedikit persediaan yang perlu untuk kita bersama.

Perkara yang paling utama ialah adab ketika bersama pelajar, kita perlu tunjukkan model yang terbaik samaada dari segi akhlak, berpakaian dan berinteraksi. Kata pepatah ada menyebut “guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”. Pelajar akan meniru perbuatan serta perangai guru. Jika akhlak guru buruk, maka akhlak pelajar juga akan turut buruk malah mungkin menjadi lebih teruk lagi. Selain itu kita sebagai seorang guru perlu kasihi pelajar seperti kita mengasihi adik-adik kita, janganlah bersikap memilih kasih dalam memberi ilmu kepada pelajar. Dengarlah pendapat mereka dan jangan menolak mentah-mentah. Lagi satu jangan menghukum atau mendenda pelajar dengan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah mereka seperti berjalan itik sekeliling sekolah, duduk separuh dihadapan perhimpunan, bernyanyi entah apa-apa, berguling-guling juga ada( mungkin ada yang pernah alaminya)dan seumpamanya tetapi hukuman itu mestilah punyai rasional tersendiri seperti merotan dan sebagainya.
Satu perkara lagi yang perlu kita ingat ialah adab atau pergaulan sesama guru, hormat menghormati perlu dikalangan guru penting supaya dapat bekerjasama dengan baik, elakkan perselisihan faham sesama guru dan jangan timbulkan `kem-kem’ atau klick-klick misalnya fahaman politik yang berbeza, berbeza fikrah atau sebagainya. Jangan jadikan perkara ini sebagai batu sempadan untuk merencatkan hubungan baik sesama guru.

Sebenarnya banyak perkara lagi yang perlu untuk persediaan menjadi sebagai seorang pendidik. Melihat gelagat pelajar fakulti pendidikan khususnya UKM yang bakal bergelar pendidik, kadang-kadang dapat membayangkan dunia pendidikan pada masa hadapan, baik yang bakal bergelar guru, ustaz mahupun ustazah. Saban tahun universiti-universiti yang punyai bidang pendidikan melahirkan ribuan bakal guru. Maka diharapkan mereka yang bakal bergelar pendidik akan Berjaya membentuk diri mereka menjadi guru mithali selain berusaha menbantu untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berilmu serta bertaqwa. Perkara yang lebih utama lagi dapat mendidik diri kita dan para pelajar supaya mengerti hakikat kehidupan kita di atas dunia ini, untuk apa? Dan siapa? Dan di manakah kesudahanya. Wallahua`lam

Monday, February 23, 2009

PPSMI Peningkan Kepala......


Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) bukan lagi isu baru yang baru diperkatakan . mengenai isu ini banyak pihak telah tampil memberi pelbagai reaksi, tidak kira di pihak kerajaan, pembangkang, NGO, penggiat seni dan pelbagai lagi. Berbagai-bagai pandangan, kritikan, kajian demi kajian, teori dibentangkan serta dibahaskan dan seumpamanya lagi bagi mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikan dan merungkai permasalahan yang timbul.


Sebagai seorang mahasiswa, saya merasakan perkara ini perlu dipertimbangkan sehingga ke akar umbi, jangan hanya melihat dari sudut mata kasar sahaja, yang akan menanggungnya rakyat jelata. Oleh kerana itu saya merasakan PPSMI ini perlu dimansuhkan bagi kesejahtraan bersama. Jika melihat dari sudut undang-undang PPSMI ini ternyata salah dan bertentangan dengan perlembagaan Malaysia sendiri, iaitu Akta Pelajaran 1996,jika pihak kerajaan sendiri tidak dapat mengikut perlembagaan bagaimana hendak mentadbir sesebuah negara, bagaimana pula rakyat yang sentiasa percaya kepada perlembagaan Malaysia, hanya di tipu mainan politik pemerintah. Jika melihat perjuangan UMNO berteraskan kepada kemelayuan bangsa, tetapi mereka juga yang mencipta PPSMI, begitu retorik sekali perjuangan yang dilaungkan selama ini. Keluhuran perlembagaan di robek dan kedaulatan undang-undang dipersenda.


Malaysia telah merdeka hampir 52 tahun tetapi ideologi penjajah masih mahu diterapkan lagi, maka sia-sialah perjuangan tokoh dahulu dalam memerdekakan Malaysia jika anak jati Malaysia sendiri memperjuangkan ideologi pemerintah, mungkin layak untuk dipanggil pengkhianat bangsa. Masa depan anak bangsa Malaysia yang punyai jati diri pada masa akan datang akan dihakis dan mungkin akan pupus tanpa jati diri bangsa sendri.


Jika PPSMI ini dijadikan alasan untuk lebih berdaya bersaing dan maju kehadapan pada masa akan datang dalam menerokai sesuatu bidang, maka melesetlah tafsiran itu, banyak Negara telah membuktikan. negara benua Afrika yang menjadikan Bahasa Ingggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, lihatlah sejauh mana kemajuan yang dicapai, contoh terdekat Negara Filipina yang juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai keutamaan dalam pendidikan, adakah tergolong dalam Negara maju sekarang. sebaliknya pula jika melihat Negara seperti Jepun, China, Korea, Perancis dan banyak lagi yang tergolong dalam Negara maju menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa kebanggaan dan digunakan sepenuhnya dalam bidang pendidikan.


Oleh itu marilah kita semua menyokong untuk mendesak PPSMI ini agar dapat dimansuhkan bagi meningkatkan lagi prestasi dikalangan pelajar khususnya penduduk luar Bandar dan pedalaman, kepada seluruh mahasiswa marilah bersama-sama menyokong memansuhkan PPSMI, seiring nilai keintektulalan yang ada, jangan hanya terus membisu dalam soal permasalahan berkaitan pendidikan, justeru marilah kita ramai-ramai turun untuk menyertai himpunan raksaksa yang diadakan pada 7 mac 2009 bertempat di hadapan Istana Negara, jam 2 petang bagi menyatakan bantahan kita. Menbina ketemadunan beracuankan bangsa sendiri…..

Sunday, February 15, 2009

MEMPERINGATI HARI SEORANG YANG DIKASIHI..


Kadang-kadang susah benar untuk menekan laptop untuk menaip sesuatu perkara dan mengulas sesuatu cerita, tetapi yakin dan percaya semua isu-isu berbangkit yang kita dapat lihat samada dalam Negara ataupun luar Negara kita semua dapat mengetahui dan mengikuti. jadi pada kali ini teringat tentang sambutan hari kekasih yang menjadi acara tahunan bagi mereka yang punyai kekasih, pada zaman sekarang digelar sebagai “couple” . yang tanpa disedari sambutan hari valentine ini merupakan agenda yang telah meresap masuk dalam adat orang melayu beragama islam, ini merupakan satu unsur yang secara halus merosakkan nilai islam yang ada dikalangan remaja islam. Mungkin kita telah membaca banyak artikel tentang sejarah sambutan hari valentine.

Bila mana tibanya hari valentine ini, satu perkara yang saya akan ingat dan tidak akan dilupakan ialah ibu tercinta, mungkin mengingati kekasih yang dimaksudkan ialah ibu tetapi pada tarikh yang sama juga merupakan tarikh lahir ibunda tercinta. Selama ini jasa dan bakti yang dicurahkan tidak mungkin dapat dinilai apatah lagi untuk membalas. saya bangga menjadi anak kepada seorang wanita yang begitu tabah mendidik anak sehingga dewasa. Sebagai seorang anak yang mampu untuk berfikir secara waras apabila semakin dewasa sudah tentu dapat menilai dengan jelas dan nyata.

Seorang wanita yang membesarkan anak seramai 8 orang tanpa suami disisi,atas jemputan Ilahi. bermula dari yang paling kecil pada usia 2 tahun sehinggalah yang paling besar berusia 17 tahun. Ketika itu penulis hanya baru berusia 6 tahun. Semua perkara perlu untuk diaturkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui, membesar tanpa seorang ayah mungkin sedikit berbeza dengan yang punyai ayah. Tetapi ini bukanlah menjadi alas an untuk tidak Berjaya, sirah Nabi juga telah membuktikan Rasulullah sendiri dilahirkan tanpa melihat ayah dan ketika masih kecil permergian ibu baginda. Bukan bermaksud untuk bercerita tentang perihal keluarga dan peribadi. Tetapi sebagai seorang anak perlu sedar tentang erti pengorbanan ibu dan ayah. Kadang-kadang kita lupa apakah tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Memohon ampun dan maaf perlu untuk kita sama-sama kita ungkapkan setiap masa dan waktu untuk mereka. Jikalau hari ini kita boleh berbangga kita Berjaya menjejak kaki ke menara gading, kebanggaan yang kita bawa ialah semangat dari ibu dan ayah kita. Jikalau hari ini kita boleh berbangga punyai ramai rakan-rakan yang berpendidikan, kita perlu ingat dimana kita bermula. Ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang tanpa minta dibalas, dengan harapan dapat menjadi anak yang soleh dan solehah. Sebagaimana hadis nabi saw yang bermaksud :

“bila mati anak adam maka akan terputuslah semua amalanya kecuali tiga perkara iaitu amal soleh yang dikerjakan semasa hidup, ilmu yang dimanfaatkan serta anak soleh yang mendoakan.”

Perkara ini jelas, mahu tidak mahu kita perlu untuk menjadi anak yang soleh agar dapat mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa. mungkin sekarang kita sebagai seorang anak kepada ibu dan bapa kita, pada masa akan datang kita pula yang menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak kita. Jika tidak mahu kita kecewa pada masa akan datang maka buatlah yang terbaik sebagai seorang anak pada waktu sekarang. wallahua`lam……………..

Sunday, January 25, 2009

MENGGUNUNG TINGGI TANGGUNGJAWAB PERLU DIPIKUL....


Setelah lama tidak menulis dalam ruangan maya ini, banyak perkara yang berlaku sepanjang masa ini tetapi tidak dapat dicoretkan disini untuk berkongsi bersama, bukan tak sempat nak menulis, banyak masa yang terluang sebenarnya tapi “mood” untuk menulis tu tak datang, lebih suka melihat dan memerhati. Lagi satu tak pandai mengolah ayat jadi bombastik. Pada ketika ini, ketegangan di GAZA semakin reda sekarang setelah hampir sebulan tentera Israel mengganas, menyaksikan ribuan yang terkorban, dan ramai yang cedera. Inilah satu kezaliman yang paling dasyat pernah berlaku. Keadaan GAZA ibarat penjara terbesar didunia, semua bantuan penyelamat disekat. Betullah janji Allah dalam al-quran yang berulang kali menyebut tentang kejahatan dan kedegilan kaum yahudi laknatullah. Sama-samalah kita menyumbang untuk kebangkitan Islam. Tidak terniat untuk menghurai tentang isu Palestin pada kali ini tetapi perkara inilah yang selalu terlintas di benak fikiran.

Pada pilihanraya kampus pada kali ini menyaksikan kebangkitan Pro Mahasiswa dalam mendominasi pemikiran masyarakat kampus, PRK UKM dapat menyaksikan Pro Mahasiswa dengan nama GMUKM dapat menafikan 2/3 kuasa Aspirasi dengan memenangi 12 kerusi, ini memberi isyarat yang jelas tentang kebangkitan MAHASISWA pada masa hadapan, PRK yang paling menarik berlaku di Universiti Malaya, persaingan antara Aspirasi dan Pro Mahasiswa begitu jelas, dan kemenangan yang dicapai penuh dengan signifikan tersendiri. Ucapan tahniah dan takziah kepada Pro Mahasiwa. Sekarang ialah pasca pilihan raya kampus, semua kampus telah melabuhkan tirai PRK masing-masing, kemenangan perlu diisi dan janji perlu untuk ditunaikan.

Kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu juga menunjukkan bahawa rakyat sudah bersedia untuk berubah, apatah lagi mahasiswa yang sentiasa terdedah dengan isu-isu semasa dan punyai pemikiran yang tajam untuk berfikir. Kepada penggerak mahasiswa kampus bersungguh-sungguhlah dalam gerak kerja kerana apa yang menanti selepas ini adalah lebih mencabar untuk dihadapi. Tanggugjwab bukan sekadar untuk dipikul kepada MPP yang telah menang akan tetapi merangkumi seluruh anggota yang terlibat bagi memastikan kerja yang terbaik dapat dicapai. Menggunung tanggungjawab yang perlu dipikul, setiap orang kena pastikan tugas masing-masing berfungsi dengan baik. Soal hati perlu dikepikan apa yang penting kejasama yang baik dapat diteruskan. Kemenangan bukanlah untuk kita bersenang lenang dan hanya memikirkan jawatan yang akan disandang tetapi landasan yang terbaik untuk kita buktikan kerja yang baik dapat dijalankan bagi memberi keyakinan untuk mencapai kemenangan yang lebih baik pada masa akan datang.

Bercakap tentang jawatan yang diberikan perlu dingat, ia merupakan amanah dan tanggungjawab untuk dipikul. Pada awal tahun ini jugalah peralihan jawatan akan bertukar tangan, kampus UKM menyaksikan semua persatuan dan kelab akan mengadakan AGM ataupun mensyuarat agung masing-masing dalam masa terdekat ini. Maka ramailah yang akan punyai jawatan masing-masing. Kepada mereka yang sudah terpilih, cubalah fikirkan jalan yang terbaik untuk melaksanakan jawatan yang diberikan. Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir untuk memegang jawatan kerana ramai lagi dikalangan mahasiswa yang lebih layak untuk jawatan yang diberikan. Universiti juga merupakan padang latihan terbaik(training ground) untuk mencungkil bakat kepimpinan yang ada, lapangan realiti akan menanti selepas ini, apabila berhadapan dengan masyarakat luar. Walau siapa pun kita, namun yang jelasnya tanggungjawab sebagai khalifah perlu kita fahami bersama sebagai hamba kepada Allah dimuka bumiNYa. Wallahua`lam…

Tuesday, January 6, 2009

Fokus dan Tumpuan Mahasiswa....

Bahang Pilihanraya Kampus semakin terasa kehangatan, tumpuan mahasiswa mula memberi fokus kepada perkara yang berlaku di keadaan sekeliling, yang pastinya akan berlaku satu pertembungan yang hebat antara dua pihak, satu pihak ternyata dari corak pemikiran mahasiswa sendiri yang mencatur dan satu pihak lagi pula yang sentiasa dicatur. Mungkin istilah yang sesuai digunakan ialah calon mahasiswa vs calon sistem. Bagi penggerak mahasiswa saat-saat begini menghadapi tekanan yang cukup tinggi dalam merialisasikan matlamat dari mahasiwa. Tekanan dari pihak pentadbiran universiti yang sentiasa dan tidak putus-putus bertandang, namun in semua bukan dijadikan alas an kepada penggerak mahasiwa. Bergerak seperti air walaupun dihalang tetap teruskan juga, jika semakin tinggi pengghalang maka natijah akan diterima juga semakin tinggi kerana kekuatan yang dikumpulkan ke tahap maksima. Begitulah ibarat para pejuang mahasiswa. Teringat kata-kata Prof Dato` Dr Syamsul Amri kepada bakal calon semasa bengkel calon yang lepas, penggerak mahasiswa perlu berfikir di luar kotak, apa yang menarik bagaimana perkataan “Banana Kick” iaitu skill yang digunakan lagenda bola sepak PELE suatu ketika dahulu, perkataan ini digunakan kepada pejuang mahasiswa sebagai simbolik untuk kembali menggugat.

Mungkin pada ketika dan saat ini tumpuan politik Negara tertumpu ke satu arah kepada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terangganu, pelbagai bacaan politik ditafsirkan, mungkin punyai signifikan yang tersendiri. Namun fokus yang kepada mahasiswa ialah pilihanraya kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. Seharusnya mahasiswa sebagai masyarakat yang punyai daya intelektual yang tinggi dan dipandang hormat masyarakat luar tahu menilai sejauh mana pentingnya pemilihan pemimpin yang akan dilantik dan tahu betapa penting dan bernilainya pilihanraya kampus kepada mereka. Cukup dan sudahlah pelbagai gelaran yang negatif diberikan kepada mahasiswa lembab, mandom, lemah, tidak menggugat, tidak mengancam dan pelbagai lagi. Maka seharusnya mahasiswa berani untuk merobah kembali menggugat agar kehadiran mahasiswa dirasai dan setiap pandangan yang berikan dirai pelbagai pihak.

Kepada seluruh masyarakat kampus khusus kepada kampus UKM sedarilah anda sebagai mahasiswa, cerminan pemimpin masa hadapan, jika masih ramai lagi meneruskan sikap ketidakpedulisme maka ramailah pemimpin masa hadapan tidak punyai daya keprihatinan yang tinggi, kredebiliti sentiasa diragui. Maka saat dan ketika inilah menjadi medan terbaik dalam melangkah satu tapak kehadapan. Pilihanraya kampus menjadi keutamaan. Ayuh sedarlah wahai mahasiswa tentang erti dan nilai diri sendiri. Beranilah untuk berubah!!!!

CALON MAHASISWA VS CALON SISTEM..


Sehari menjelang pilihanraya kampus, suasana masih lagi sunyi tanpa semangat merayakan demokrasi yang sepatutnya ada dalam diri setiap anak muda bergelar mahasiswa. Politik kampus masih lagi menjadi medan pertempuran anak muda yang seharusnya membawa inspirasi mahasiswa.

Pilihanraya kampus ini bakal menyaksikan pertembungan calon-calon yang menjadi caturan sistem dan caturan mahasiswa sendiri. Berhujah soal pertembungan ini, umpama berhujah tentang pertarungan Tuah dan Taming Sari. Liuk lentuk Taming Sari mengelak tikaman begitu hebat namun apakah kekebalan yang ada itu mampu menjamin segalanya? Usaha sekarang adalah memastikan Taming Sari menelusuri sejarah lepas, mati ditikam kebal sendiri.

Mengapa kita harus menolak calon sistem?

Kampus adalah persekitaran yang terbaik bagi mahasiswa mencatur dan merangka soal masa depan mereka. Soal masa depan mahasiswa di kampus tidak seharusnya dikompromi sama sekali. Masa depan kampus dan negara seharusnya terletak di tangan mahasiswa sendiri. Pencaturan sistem hanya bakal menyekat kebebasan mahasiswa dalam berfikir secara kritikal dan merencana soal masa depan mereka. Bukan hanya menyekat bahkan memandulkan pemikiran mahasiswa.

Calon mahasiswa adalah proksi kepada mahasiswa di kampus. Mereka dicaturkan sendiri oleh mahasiswa bagi membawa satu perubahan dalam suasana kemandulan intelektual di kampus yang amat dashyat. Mengapa ini terjadi? Kerana konstruksi pemikiran mahasiswa itu dibentuk agar mengikut kisah Arjuna sistem semata-mata. Calon sistem adalah proksi yang hanya akan bertanggungjawab kepada sistem semata-mata. Maka sistem yang yang berkepentingan akan bertuhankan matlamat yang menghalalkan cara untuk merealisasikan impian mereka dalam usaha memperhebatkan pengeluaran industri penciptaan patung-patung yang hanya mengangguk ketika membuat keputusan.

Masa depan negara 20 tahun akan datang terletak di bahu mahasiswa pada hari ini. Jika sehingga ke hari ini mahasiswa masih lagi dijadikan Arjuna yang digayakan Pak Dogol, maka proses pemandulan itu akan lebih baik. Mahasiswa harus diajar bagaimana cara merencana, mencatur dan memikirkan masa depan di kampus dahulu sebelum membuat keputusan negara di masa depan. Sekiranya drama Arjuna ini masih menguasai gelanggang, maka pakej penghasilan pemimpin masa depan yang berkualiti turut dimandulkan.

Maka, calon sistem harus ditolak habis-habisan oleh mahasiswa. Teguhkan pendirian dengan satu agenda perubahan memperkasakan mahasiswa. Pastikan setiap undi kita bersama calon mahasiswa kerana mahasiswa itu mampu berdiri atas caturan yang bebas dan tidak terikat dalam agenda memasung intelektual dengan matlamat memandirkan masyarakat kampus. Bersatu berubah dengan setiap undi untuk perubahan!

HILMAN IDHAM FSSK/1

Tuesday, December 30, 2008

Adik dan Palestin







sebuah kisah yang dikirim oleh mizy sumber palestinkini.
" sama-sama la kita menghayati" insafilah diri... sungguh jauh kita......

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum.

Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.

Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik.

Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid.

Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk dipenjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid.

Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan.

Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid.

Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah.

Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.

"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. AAdik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk dipenjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah

Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu.

Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam.

Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi.

Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa.

Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik.

Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang.
"Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh.

"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.

Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.

Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu.

Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik.

Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.

"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.

Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.

"Bismillahirrahmanirrahim.."

Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari.

Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.

Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap.

Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji.

Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.

Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal. Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel.

Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah.

Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cubasenyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP