Related Posts with Thumbnails

Tuesday, December 2, 2008

Ibadah Korban dan Aqiqah...





IBADAH KORBAN

Ibadat Korban


Ibadat korban merupakan satu ibadat yang sangat digalakan dalam Islam, khususnya bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewaangan. Ibadat korban telah disyariatkan oleh Allah pada tahun kedua Hijrah.

Firman Allah s.w.t ”Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (Muhammad) kebaikan yang banyak. Maka *sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)” (Al-Kautsar: 1-2)
* sembahyang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah sembahayang sunat hari raya korban.


Hukum Korban

Hukumnya Sunat Muakkad. Adapun bagi mereka yang bernazar hukumnya adalah wajib. Bagi mereka yang berkemampuan adalah makruh meninggalkan amalan ini.

Wajib hukumnya kepada Rasullah s.a.w berdasarkan hadis: ”Diwajibkan keatasku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan amalan sunat bagi kamu”. (Riwayat Imam Tirmizi).


Maksud Korban

Menyembelih binatang ternakan yang terdiri dari unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai *umur pada Hari Raya Korban (Aidil Adha) 10 Zulhijjah selepas sembahayang sehinggalah gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
* umur binatang yang boleh dikorbankan
Unta 5 tahun ke atas – 7 bahagian
Lembu, kerbau 2 tahun ke atas – 7 bahagian
Kambing 2 tahun ke atas – 1 bahagian
Bebiri, kibas 1.5 tahun ke atas – 1 bahagian

Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Sunat-Sunat Ketika Menyembelih Binatang Korban
1. Membaca basmilah
2. Selawat ke atas Nabi
3. Menghadap Kiblat
4. Bertakbir
5. Berdoa supaya diterima ibadah korban.

AQIQAH

Takrif Al-Aqiqah
Al-Aqiqah dari sudut bahasa berasal dari perkataan al-aqqu yang bermaksud potong. Asalnya ia digunakan dengan makna rambut yang berada di atas kepala bayi sewaktu dilahirkan. Dinamakan demikian kerana ia perlu dicukur dan di potong.


Hukum Al-Aqiqah
Al-Aqiqah hukumnya adalah Sunat Muakkad, iaitu ibadat yang sangat-sangat di tuntut kepada wali yang menjaga bayi tersebut.

Dalil Al-Aqiqah
Dalil sunatnya ialah perbuatan Rasullah s.a.w melakukan aqiqah, begitu juga para sahabat r.a. Dari Salman bin Amir Ad-Dhobbi r.a katanya, “Aku mendengar Rasullah s.a.w bersabda, “Bersama bayi itu ialah aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan iaitu kekotoran dan najis”. (5154).


Waktu Al-‘Aqiqah
Bermula waktu diharuskan menyembelih aqiqah dengan keluarnya semua tubuh bayi dari dalam rahim ibunya. Kalau ia disembelih sebelum sempurna keluarnya bayi maka ia tidak dapat dianggap aqiqah, ia dianggap daging biasa dan tidak mendapat sunat aqiqah.


Waktu sunatnya berterusan sehingga balighnya bayi itu. Setelah baligh, bapanya tidak lagi dituntut untuk melakukannya dan lebih baik dia melakukan untuk dirinya sendiri sebagai memenuhi perkara yang telah tertinggal.


Namun sunat yang dituntut ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh daripada kelahiran bayi. Dalilnya hadis riwayat Abu Daud (1522) dan selainya daripada Samrah r.a katanya, “Rasullah s.a.w bersabda, “Bayi itu di tebus (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, dan pada hari itu diberikan nama serta dicukur rambutnya”.


Maksud ditebus oleh aqiqahnya ialah pembesarannya dalam keadaan baik dan penjagaannya akan sempurna bergantung pada sembelihan untuknya. Dinyatakan juga ia bermakna dia tidak boleh memberi syafa’at kepada kedua ibubapanya jika tidak disembelihkan aqiqah untuknya.


Hikmah Disyariatkan Aqiqah

Melambangkan kegembiraan dengan nikmat Alah§ s.w.t yang menyenangkan kelahiran dan mengurniakan anak kepada kedua ibubapa. Anak itu amat disukai oleh pasangan ibubapa, maka sepatutnya dibuktikan kesyukuran kepada pengurniaan dan pemberian nikamat.

Firman Allah
“Dan jika kamu bersyukur, nascaya ia meredhai bagimu kesyukuran itu”. (As-Zumar: 7).
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nascaya Aku akan tambah untuk kamu” (Ibrahim : 7).
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia” (Al-Kahfi: 46).
Memudahkan pengistiharan berita melahirkan anak dan menyebarkannya kerana berita ini perlu diistihar dan disebarkan agar jangan lahir cerita yang tidak diingini, aqiqah adalah jalan terbaik untuk itu.

Menyuburkan sifat pemurah dan baik hati dikalangan manusia dan melanggar hasutan nafsu yang mengajak kepada sifat bakhil.
Firman Allah, ”Sedang sifat bakhil itu memang tabiat semulajadi yang ada pada manusia” (An-Nisa: 128).
”Dan sesiapa yang menjaga dirinya dari kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr: 9)


Merapatkan hati keluarga, kerabat, kawan dan orang miskin dengan menghimpunkan mereka untuk makan. Dengan berhimpunnya mereka di atas satu hidangan wujudlah kemeseraan, kasih sayang dan persaudaraan. Islam adalah agama mesra, kasih sayang dan persaudaran.


Binatang Yang Disembelih Untuk Anak Lelaki Dan Anak Perempuan
Sunnah telah menetapkan, wali hendaklah menyembelih seekor kambing bagi aqiqah lelaki dan untuk anak perempuan juga seekor kambing. Dalilnya hadis yang diriwatkan oleh At-Tirmizi (1059) daripada Ali r.a katanya ”Rasullah s.a.w telah mengaqiqahkan Al-Hassan dengan seekor kambing.


Tetapi ianya lebih afdhal jika wali menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor untuk anak perempuan. Dalilnya ialah hadis yang diriwatkan oleh At-Tirmizi (1513) dan selainya dari Aisyah r.h, katanya ”Rasullah s.a.w memerintahkan agar mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing yang sempadan dan mengaqiqahkan anak perempuan dengan seekor kambing”.


Banyaknya Aqiqah Mengikut Bilangan Anak
Adalah tidak memadai untuk mendapat sunat aqiqah dengan menyembelih seekor kambing bagi bilangan anak yang lebih dari seorang. Bahkan mengikut sunnah ialah binatang sembelihan mengikut bilangan anak, bagi seorang anak seekor kambing, bagi dua orang anak dua ekor kambing, bagi tiga orang anak tiga ekor kambing dan seterusnya.
Sekiranya seorang itu dikurniakan sepasang anak kembar maka tidak cukup seekor kambing untuk keduanya.
Abu Daud (2841) meriwtkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya ”Sesungguhnya Rasullah s.a.w telah mengaqiqahkan seekor kibas untuk Al-Hassan dan seekor kibas untuk Al-Hussain.

Al-Hakim (23714) dalam Al-Mustadrak meriwatkan Rasullah s.a.w telah mengqiqahkan untuk Al-Hassan dan Al-Hussain setiap seorang disembelih dua ekor kibas yang serupa dan setanding bentuknya.


Syarat Aqiqah
Agar aqiqah yang dilakukan mendapat pahala, disyaratkan semua seperti syarat korban dari sudut jenis, umur dan bebasnya haiwan itu daripada kecacatan yang menyebabkan kurangnya daging. Ini disebabkan aqiqah adalah sembelihan yang disunatkan maka ia sama dengan korban.


At-Tirmizi (1497) meriwatkan dan beliau mensahihkannya begitu juga Abu Darda (2802) dan ini lafaznya Abu Darda daripada Al-Barra’ bin ’Azib r.a daripada Rasullah s.a.w sabdanya ”Empat perkara yang tidak boleh ada dalam korban, cacat yang jelas kecacatannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas tempangnya dan tulang patah yang tiada sembuhnya”. Empat kecacatan ini dikiaskan kepada semua kecacatan yang menyerupainya yang menyebabkan ia kurus dan kekurangan daging.


Perbezan Antara Aqiqah Dan Korban

Terdapat beberapa perbezaan antara aqiqah dengan korban :

1. Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahayang dan khutbah Hari Raya ’Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.
2. Daging aqiqah boleh di beri milik kepada orang kaya menakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
3. Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, menakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s.
4. Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging aqiqah sunat disedekahkan setelah di masak.
5. Daging aqiqah sunat dimasak dengan manis-manis, dengan doa harapan agar agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.
6. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya menakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.
7. Tuntutan melakukan aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, menakala tuntutan melakukan korban ialah setiap tahun Hijrah

0 comments:

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP