Related Posts with Thumbnails

Monday, December 28, 2009

Hentikan khidmat bas ekpres malam???


Tahun 2009 yang hampir berlalu ini kita telah dikejutkan dengan nahas bas dua tingkat Sani Ekpress di lebuh raya utara selatan arah utara menuju ke Perlis, kira-kira 8 kilometer dari plaza tol Ipoh Selatan dan telah mengorbankan 10 orang penumpang dan dua orang yang parah. Sebelum pada tahun ini juga membabitkan bas dua tingkat AB ekpress dari Alor Setar menuju ke Kuala Lumpur juga di lebuh raya Utara Selatan dekat bukit beruntung, rawang dan telah mengorbankan 5 penumpang dan juga pemandunya. Sebelum-sebelum ini juga banyak tercatat kemalangan yang buruk melibatkan bas ekpress.

Seperti biasa, apabila berlaku nahas ngeri seumpama itu banyak pihak membuat pelbagai kenyataan sama ada mengenai siasatan, amaran, cadangan atau hukuman yang kemudian sepi semula sehingga nahas baru berlaku. Jabatan Keselamatan Jalan Raya mencadangkan supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai, manakala Menteri Besar haram Perak, Zambry Abdul Kadir meminta Kerajaan Pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Walaupun mengantuk ada kalanya menjadi punca nahas, menghentikan perkhidmatan bas ekspres pada tengah malam bukanlah kaedah terbaik kerana ia tidak menjamin kemalangan kenderaan itu tidak berlaku. Sebaliknya, ia mungkin menimbulkan kesulitan kepada penumpang yang memilih perjalanan malam untuk menjimatkan waktu sama ada bagi berurusan ke tempat masing-masing. Bagi sebahagian besar rakyat negara ini perkhidmatan bas ekspres masih lagi menjadi pilihan utama untuk perjalanan jauh terutama kepada pelajar dan juga pekerja yang diluar kawasan mereka. Siang atau malam bukanlah masalah pokok kerana yang lebih penting ialah penguatkuasaan yang tegas serta pemeriksaan berkala sama ada terhadap syarikat bas, kenderaan atau pemandu mereka sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan. Dikatakan 16,000 bas dan berkhidmat ke 3,700 destinasi di Amerika Syarikat turut beroperasi pada waktu malam. Namun, kadar kemalangan ngerinya tidak seteruk negara ini, walaupun perjalanannya lebih jauh.

Daripada menghentikan perjalanan malam, adalah baiknya jika pihak dan agensi berkaitan memikirkan strategi jangka panjang bagi perkhidmatan bas ekspres dan kenderaan berat, yang sering terbabit atau menyebabkan dalam nahas ngeri di negara ini. Tiada gunanya semua pihak bising selepas berlaku kemalangan, tetapi diam selepas itu. Di sesetengah negara maju, mereka merangka dan melaksanakan strategi keselamatan jalan raya untuk tempoh panjang sebelum ia dikaji semula. Jika perkara lain kita cuba untuk meniru cara pengurusan Negara maju, kenapa dalam hal ini kita tidak pernah serius untuk menjadikan negera maju sebagai contoh.

Di New Zealand misalnya, belum pun Strategi Keselamatan Jalanraya 2010 berakhir, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan di negara itu sudah memulakan strategi baru sehingga 2020 dalam memastikan pengangkutan awam di sana memberi keselesaan dan keselamatan pada kadar yang mampu dibayar rakyatnya. Majlis Pengangkutan Australia yang dianggotai wakil Kerajaan Pusat, negeri dan wilayah, pula mempunyai Strategi Keselamatan Kenderaan Berat 2003-2010 dengan tumpuan khusus mengurangkan kematian dan kecederaan akibat nahas kenderaan berat. Barangkali sudah tiba masanya Malaysia juga merangka strategi jangka panjang seperti itu dalam menangani nahas jalan raya di negeri ini daripada mengulangi kenyataan sama setiap kali berlaku kemalangan ngeri yang menyebabkan ramai terkorban.

0 comments:

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP