Related Posts with Thumbnails

Tuesday, October 28, 2008

NILAI TUDUNG SEORANG WANITA............

Bismillah Wal Hamdulillah

Di sini ingin penulis menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi semua muslimat walaupun penulis dari kaum ADAM. Namun, ini tidak bermakna muslimin boleh mengambilnya sebagai perkara enteng kerana muslimin juga mempunyai peranan penting dalam memastikan dan mendidik muslimat agar sama-sama berada di dalam keredhaan Allah S.W.T.

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama,harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah, universiti dan hinggalah kepada pekerja-pekerjapejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Apa yang menjadi perhatian penulis ialah pemakaian tudung di kalangan pelajar universiti, penulis sebagai pelajar yang juga merupakan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam hal ini penulis dapat menilai dan melihat kebanyakkan pelajar universiti mengenakan tudung melambangkan mereka sebagai seorang muslim, namun sejauh mana penghayatan mereka dalam menilai dan menghargai nilai tudung bagi seorang wanita mukmin. Fesyen tudung juga telah menular kepada pelajar universiti, mereka dapat melihat dari media massa yang banyak mempengaruhi mereka, rekaan kepelbagaian tudung juga bukan lagi untuk mengelakkan fitnah malah boleh mendatangkan fitnah yang lebih teruk.

Ada yang mengenakan tudung ibarat melepaskan batuk ditangga, tiada nilai tudung yang sebenar dalam diri mereka. Sebagai contoh apa yang penulis lihat dan terpaksa untuk melihat kerana berhadapan berhari-hari dengan wanita2 seperti ini, mereka memakai tudung hanya cukup untuk tutup kepala mereka, dan mengenakan baju ”adik” yang jelasnya ketat yang melampau, disamping seluar yang juga ketat seperti(jeans).Tutup diatas tapi kadang-kadang buka tengah merangkumi depan dan belakang, rasanya tidak usah untuk penulis huraikan. Pandanglah di sekeliling, golongan ini pasti ada.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung dialah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang mereka pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Meraka tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Penulis dapat melihat sendiri bagaimana pelajar universiti yang bertudung tetapi masih lagi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. Penuis tidak fokuskan kepada pelajar tempat penulis belajar saja tetapi merangkumi yang lain.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Inilah fahaman orang2 bukan Islam yang melihat golongan sebegini. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Teringat penulis, penah terdengar luahan rasa dari seorang pelajar universiti yang bertudung labuh, menyatakan orang yang bertudung labuh takut untuk didekati oleh non-muslim, malahan lebih teruk lagi dari orang Islam sendiri yang juga bertudung tetapi hanya untuk cukupkan syaratnya saja. Munkin dia menimbulkan bagaimana cara pendekatan, saya merasakan perkara ini bukanlah perkara pokoknya, Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Elakkan pergaulan bebas
lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Penulis juga menyeru kepada seluruh mahasiswi, gunakanlah peluang yang ada sekarang sebagai pelajar universti untuk mendekati non-muslim, terutama mereka yang belajar bersama sehari-hari, kongsilah Islam dengan mereka, jangan sesekali malu dan takut untuk mendekati mereka, tunjuklah nilai Islam yang sebenar kepada mereka.Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam.

Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

1 comments:

my said...

salam singgah

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP