Related Posts with Thumbnails

Tuesday, December 30, 2008

Adik dan Palestin







sebuah kisah yang dikirim oleh mizy sumber palestinkini.
" sama-sama la kita menghayati" insafilah diri... sungguh jauh kita......

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum.

Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.

Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik.

Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid.

Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk dipenjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid.

Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan.

Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid.

Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah.

Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.

"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. AAdik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk dipenjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah

Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu.

Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam.

Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi.

Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa.

Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik.

Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang.
"Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh.

"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.

Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.

Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu.

Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik.

Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.

"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.

Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.

"Bismillahirrahmanirrahim.."

Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari.

Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.

Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap.

Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji.

Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.

Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal. Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel.

Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah.

Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cubasenyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Monday, December 29, 2008

Jihad Rakyat Palestin





Selasa ,30/12/2008 -Dr Moawiya Hassanen, ketua Unit Kecemasan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, melaporkan tentera udara rejim Zionis terus menyerang pada waktu Subuh hari Selasa dan membunuh 10 Rakyat Palestin.Mereka turut mengebom pihak medik yang cuba memindahkan mangsa yang cedera. Jumlah maut terkini menjadi 360 dalam kurang daripada empat hari, hampir 1700 cedera .

Serangan udara Israel itu mensasarkan kawasan kementerian di belakang Islam University, kawasan bekas Penduduk Palestin Preventive Security di Tal Al Hawa, kawasan Navy barat Gaza, pusat Qassam Brigades di Timur Al Zeitoon Gaza City, utara jalan Gaza City, satu bengkel tukang besi di tengah Gaza dan sebuah rumah yang menjadi kepunyaan salah seorang daripada pemimpin-pemimpin Al Qassam Brigades di utara Gaza.

Helikopter Apache Israel telah menembak dua peluru berpandu ke arah sebuah pusat kepunyaan Popular Resistance Committees, barat Gaza City. Serangan ini di buat sejurus pihak rejim Zionis mengumumkan 2 orang askar mereka mati dalam satu serangan pejuang Palestin.

TV Al Aqsa Hamas melaporkan beberapa penduduk telah terbunuh dan cedera dalam satu serangan udara yang disasarkan ke arah rumah Ayman Siyam , salah seorang daripada pemimpin briged Al Qassam di Jabalia.
palestinkini.info

Sunday, December 28, 2008

TAZKIRAH MAAL HIJRAH 1430H


Hijrah kita bukan hijrah naik unta,
mencari tempat selamat untuk menyembah Tuhan.
Tetapi hijrah kita hijrah hati,

ubah sikap dan baiki diri...
Bukan tempat jadi halangan untuk besarkan Tuhan,

tapi hati yang belum tertempa untuk jinak dan bermanja dengan Penciptanya.
Hijrah kita tanpa unta,
tanpa perlu berjalan di tengah panas membara,
tanpa perlu takut dikejar musuh durjana,
tapi...
Hijrah dari alam gelap ke alam cahaya.

Alam leka ke alam jaga.
Dari fantasi ke alam realiti.
Inilah kehidupan yang sementara,
sebelum kita hadir ke alam hakiki yang kekal abadi.
Hijrahlah kita dari sikap tidak baik kepada sikap yang baik.
Kerana terlalu banyak sikap tak baik
yang kita masih jaga dengan baik.
Di Universiti..
hubungan lelaki perempuan kita buat macam suami/isteri,

usik sana usik sini,
usung sana usung sini,
dah tak rasa berdosa lagi
orang Kedah kata dah "mangli"
Sedangkan malaikat tetap tidak peduli
sentiasa mencatit segala amal diri yang mulia atau keji...
Suka buang masa pun perlu kita hindari
maklum saja zaman IT dok chatting tak henti
guna komputer yang mak ayah beli.
soal amanah dah tolak tepi
dah tak ingat mati bila-bila boleh mari.
Hijrah ibarat berpindah ke rumah baru
Benda tak berguna jangan dibawa sama,
tinggalkan di tong sampah selayaknya.
Hanya yang baik-baik dan yang berguna saja kita bawa.
Demikian penghijrahan diri yang sepatutnya.
sikap-sikap yang berserabut dan berdebu
buanglah jauh-jauh.
Suka merajuk, suka menunjuk, suka menyibuk,
suka menyampuk, suka mengamuk...
janganlah kita simpan lagi perangai-perangai ini
macam memelihara barang antik yang kita perasan cantik dan antik,
tapi orang lain rasa benci dan getik.
Mazmumah itu bagaikan penyakit kanser,
semakin dipendam semakin parah.
Kalau kita masih sayang
dan nak sehidup semati dengannya...
apakan daya.

Tahun Baru Hijrah yang menjelma,
sambutlah dengan azam dan semangat baru...
dari yang tak baik berhijrahlah kepada yang baik.
Dari yang sudah baik, kepada yang lebih baik.
Minat mengumpul dan menyimpan sikap 'antik',
eloklah diganti dengan usaha memulihkan penyakit,
sebelum hijrah kita yang terakhir...
dari dunia yang fana' ini ke Alam Baqa yang kekal abadi.
Waktu itu tiada "U-turn" untuk kita lagi!

Wednesday, December 3, 2008

Mencari Erti Pengorbanan.....


Dalam kehidupan ini, setiap insan perlu dan semestinya melakukan pengorbanan. Ibu bapa bekorban membanting tulang empat kerat untuk memastikan anak-anak dapat kehidupan yang selesa. Para pendidik(aku juga bakal pendidik) jua perlu bekorban untuk memastikan anak watan mendapat didikan yang cemerlang. Alim ulamak perlu bekorban agar umat Islam mendapat cahaya pertunjuk yang benar. Pemimpin negara perlu bekorban agar rakyat terpelihara, negara aman dan harmoni.

Mulut berkata memang cukup senang, tapi melakukanya belum tentu semudah apa yang diperkatakan.

Mungkin, kita pernah mendengar cakap-cakap orang yang ingin, atau menyeru kepada melakukan pengorbanan seperti ini :

1) "sayang! abang sanggup bekorban apa saja untuk sayang, asal sayang menjadi isteri abang"... "Abang! jangan tinggalkan ayang, ayang sanggup buat apa saja asal kita dapat bersama sehidup semati"...

Wah!!! manis kata-kata orang bercintan-cintun.

2)"Rakyat juga perlu bekorban, bukan mengharap subsidi dari kerajaan jer, negara kita boleh bankrup kalau asyik bagi subsidi...Kerajaan dah banyak bekorban untuk rakyat, subsidi minyak, makanan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain... rakyat juga kena ler bekorban..."... " ubah gaya hidup..."

emm... tekanan semasa untuk mewujudkan situasi menang-menang.

3)"lihat apa yang berlaku di Palestin, Lubnan, Iraq... apa pengorbanan kita untuk mereka? mereka saudara-mara seakidah, seagama dengan kita... tapi apa kita buat?... kita sibuk dengan harta dunia, kekayaan dunia, pangkat dunia, langsung tak fikir tentang umat islam yang ditindas... apa pengorbanan kita???... "

subhanaallah... takbir... Allahuakhbar!!!

Pengorbanan yang pertama, belum pasti keikhlasannya. bak kata orang tua-tua ada benarnya " itu ayat mula-mula memikat jer... orang lelaki biasalah takut-takut nanti, habis madu sepah dibuang"... kalau yang perempuannya pula bukan boleh percaya sangat, habis yang hendak dikikisnya, good bye lah jawapnya, silap-silap gaya pisau-pisau cukur pun dirembatnya..." - ini pengorbanan tahi minyak

Pengorbanan yang kedua, ada betul, kita perlu sama-sama bekorban. Hidup secara berjimat cermat. Ubah gaya hidup yang lebih sederhana. Tapi, persoalan yang timbul, kenapa pengorbanan yang diminta tidak seimbang, tidak wujud apa yang dikatakan menag-menang. Rakyat bekorban 80%, kerajaan bekorban 20 %. Ini tidak adil.

Pengorbanan yang ketiga membawa kita supaya insaf dan lebih kepada memberi kesedaran, namun hakikatnya, tidak semua yang melaungkan kata-kata semangat seperti itu mampu berjihad seperti apa yang berlaku secara realitinya di Iraq, Palestin, Lubnan dan lain-lainnya.

Nilai pengorbanan seorang muslim mukmin bukan dapat kita gambarkan dengan cerita dan tayangan. Namun pengorbanan itu dengan bukti dan pelaksanaan.

Pengorbanan menginfakkan diri, harta, dan sebagainya kepada perjuangan islam merupakan pengorbanan yang sangat berharga dan besar nilaiannya disisi Allah swt.

Almarhumah Zainab Al-Ghazali sebagai contoh tauladan yang boleh kita sanjungi dan hayati pengorbanannya dalam berjuang menegakkan islam. Keberanian, kecekalan, kekentalan, kekuatan beliau dalam menghadapi musuh rejim kepimpinan zalim mesir sangat hebat. Beliau di anggap perempuan yang setanding dengan 1000 lelaki. Pengorbanan yang beliau berikan untuk memastikan islam ditempat yang tinggi sukar untuk kita gambarkan dengan bacaan dan pendengaran. Realitinya kita perlu hadapi dan merasai, barulah kita akan dapat menghayati pengorbanan beliau.

Tokoh tanah air Malaysia yang juga tidak kurang hebat berjuang dan bekorban demi negara dan agama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dol Said, Panglima Salleh dan lain-lain lagi.


Semua yang dinyatakan ini merupakan pengorbanan, kadang-kadang terfikir pengorbanan apa yang telah aku lakukan, fikir sejenak. Cari dan terus mencari tapi apa yang dikatakan betul-betul pengorbanan belum saya jumpai. Esok aku akan pulang ke kampung yang amat dirindui, mungkin untuk mencari apa itu pengorbanan sebagai seorang anak kepada ibu tercinta. Kepulangan dinanti-nanti tapi tidak pernah betul-betul menghargai, apakah pengorbanan aku sebagai seorang anak selama ini, sebagai abang kepada adik-adik pula bagaimana, sebagai anak muda untuk berbakti kepada masyarakat kampung pula bagaimana, semua itu perlu difikirkan, bila hendak balik kampung semua persoalan itu timbul dibenak kotak fikiran. Terlaksanakah semua yang aku fikirkan itu, itulah, semua merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang muslim mukmin. Rupanya banyak lagi tanggungawab aku sebenarnya.


Aku tidak pasti apa yang aku tulis ini dapat menggambarkan apa itu pengorbanan yang sejati. Sempena Hari Raya Kubra(eidul adha) yang bakal menjelang tiba sama-samalah kita mencari erti pengorbanan yang sebenar dalam hidup kita. Ingat Hari Raya Haji ini merupakan perayaan yang diaulakan berbanding Raya Puasa, kita disunatkan bertakbir dan bertahmid selama empat hari berbanding Eidul Fitri hanya sehari lebih sahaja kita disunatkan. Tetapi masyarakat kita sebaliknya. Mungkin kita perlu berubah dari adat kepada ibadat. Berhadapan dengan realiti tidak semudah kita berteori…….

Hakikatnya, pengorbanan untuk Islam ini bukan suatu perkara yang mudah untuk dilaksanankan. Namun latihan, pentarbiyahan perlu dibentuk agar andai suatu hari nanti kita dituntut melakukan apa-apa jenis pengorbanan pun kita mampu melaksanakan dengan baik dan hati yang terbuka. Takbir!!! Coretan terakhir sebelum pulang ke kampung.......

Waallahua'lam..

Tuesday, December 2, 2008

Ibadah Korban dan Aqiqah...





IBADAH KORBAN

Ibadat Korban


Ibadat korban merupakan satu ibadat yang sangat digalakan dalam Islam, khususnya bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewaangan. Ibadat korban telah disyariatkan oleh Allah pada tahun kedua Hijrah.

Firman Allah s.w.t ”Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (Muhammad) kebaikan yang banyak. Maka *sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)” (Al-Kautsar: 1-2)
* sembahyang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah sembahayang sunat hari raya korban.


Hukum Korban

Hukumnya Sunat Muakkad. Adapun bagi mereka yang bernazar hukumnya adalah wajib. Bagi mereka yang berkemampuan adalah makruh meninggalkan amalan ini.

Wajib hukumnya kepada Rasullah s.a.w berdasarkan hadis: ”Diwajibkan keatasku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan amalan sunat bagi kamu”. (Riwayat Imam Tirmizi).


Maksud Korban

Menyembelih binatang ternakan yang terdiri dari unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai *umur pada Hari Raya Korban (Aidil Adha) 10 Zulhijjah selepas sembahayang sehinggalah gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
* umur binatang yang boleh dikorbankan
Unta 5 tahun ke atas – 7 bahagian
Lembu, kerbau 2 tahun ke atas – 7 bahagian
Kambing 2 tahun ke atas – 1 bahagian
Bebiri, kibas 1.5 tahun ke atas – 1 bahagian

Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Sunat-Sunat Ketika Menyembelih Binatang Korban
1. Membaca basmilah
2. Selawat ke atas Nabi
3. Menghadap Kiblat
4. Bertakbir
5. Berdoa supaya diterima ibadah korban.

AQIQAH

Takrif Al-Aqiqah
Al-Aqiqah dari sudut bahasa berasal dari perkataan al-aqqu yang bermaksud potong. Asalnya ia digunakan dengan makna rambut yang berada di atas kepala bayi sewaktu dilahirkan. Dinamakan demikian kerana ia perlu dicukur dan di potong.


Hukum Al-Aqiqah
Al-Aqiqah hukumnya adalah Sunat Muakkad, iaitu ibadat yang sangat-sangat di tuntut kepada wali yang menjaga bayi tersebut.

Dalil Al-Aqiqah
Dalil sunatnya ialah perbuatan Rasullah s.a.w melakukan aqiqah, begitu juga para sahabat r.a. Dari Salman bin Amir Ad-Dhobbi r.a katanya, “Aku mendengar Rasullah s.a.w bersabda, “Bersama bayi itu ialah aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan iaitu kekotoran dan najis”. (5154).


Waktu Al-‘Aqiqah
Bermula waktu diharuskan menyembelih aqiqah dengan keluarnya semua tubuh bayi dari dalam rahim ibunya. Kalau ia disembelih sebelum sempurna keluarnya bayi maka ia tidak dapat dianggap aqiqah, ia dianggap daging biasa dan tidak mendapat sunat aqiqah.


Waktu sunatnya berterusan sehingga balighnya bayi itu. Setelah baligh, bapanya tidak lagi dituntut untuk melakukannya dan lebih baik dia melakukan untuk dirinya sendiri sebagai memenuhi perkara yang telah tertinggal.


Namun sunat yang dituntut ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh daripada kelahiran bayi. Dalilnya hadis riwayat Abu Daud (1522) dan selainya daripada Samrah r.a katanya, “Rasullah s.a.w bersabda, “Bayi itu di tebus (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, dan pada hari itu diberikan nama serta dicukur rambutnya”.


Maksud ditebus oleh aqiqahnya ialah pembesarannya dalam keadaan baik dan penjagaannya akan sempurna bergantung pada sembelihan untuknya. Dinyatakan juga ia bermakna dia tidak boleh memberi syafa’at kepada kedua ibubapanya jika tidak disembelihkan aqiqah untuknya.


Hikmah Disyariatkan Aqiqah

Melambangkan kegembiraan dengan nikmat Alah§ s.w.t yang menyenangkan kelahiran dan mengurniakan anak kepada kedua ibubapa. Anak itu amat disukai oleh pasangan ibubapa, maka sepatutnya dibuktikan kesyukuran kepada pengurniaan dan pemberian nikamat.

Firman Allah
“Dan jika kamu bersyukur, nascaya ia meredhai bagimu kesyukuran itu”. (As-Zumar: 7).
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nascaya Aku akan tambah untuk kamu” (Ibrahim : 7).
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia” (Al-Kahfi: 46).
Memudahkan pengistiharan berita melahirkan anak dan menyebarkannya kerana berita ini perlu diistihar dan disebarkan agar jangan lahir cerita yang tidak diingini, aqiqah adalah jalan terbaik untuk itu.

Menyuburkan sifat pemurah dan baik hati dikalangan manusia dan melanggar hasutan nafsu yang mengajak kepada sifat bakhil.
Firman Allah, ”Sedang sifat bakhil itu memang tabiat semulajadi yang ada pada manusia” (An-Nisa: 128).
”Dan sesiapa yang menjaga dirinya dari kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr: 9)


Merapatkan hati keluarga, kerabat, kawan dan orang miskin dengan menghimpunkan mereka untuk makan. Dengan berhimpunnya mereka di atas satu hidangan wujudlah kemeseraan, kasih sayang dan persaudaraan. Islam adalah agama mesra, kasih sayang dan persaudaran.


Binatang Yang Disembelih Untuk Anak Lelaki Dan Anak Perempuan
Sunnah telah menetapkan, wali hendaklah menyembelih seekor kambing bagi aqiqah lelaki dan untuk anak perempuan juga seekor kambing. Dalilnya hadis yang diriwatkan oleh At-Tirmizi (1059) daripada Ali r.a katanya ”Rasullah s.a.w telah mengaqiqahkan Al-Hassan dengan seekor kambing.


Tetapi ianya lebih afdhal jika wali menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor untuk anak perempuan. Dalilnya ialah hadis yang diriwatkan oleh At-Tirmizi (1513) dan selainya dari Aisyah r.h, katanya ”Rasullah s.a.w memerintahkan agar mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing yang sempadan dan mengaqiqahkan anak perempuan dengan seekor kambing”.


Banyaknya Aqiqah Mengikut Bilangan Anak
Adalah tidak memadai untuk mendapat sunat aqiqah dengan menyembelih seekor kambing bagi bilangan anak yang lebih dari seorang. Bahkan mengikut sunnah ialah binatang sembelihan mengikut bilangan anak, bagi seorang anak seekor kambing, bagi dua orang anak dua ekor kambing, bagi tiga orang anak tiga ekor kambing dan seterusnya.
Sekiranya seorang itu dikurniakan sepasang anak kembar maka tidak cukup seekor kambing untuk keduanya.
Abu Daud (2841) meriwtkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya ”Sesungguhnya Rasullah s.a.w telah mengaqiqahkan seekor kibas untuk Al-Hassan dan seekor kibas untuk Al-Hussain.

Al-Hakim (23714) dalam Al-Mustadrak meriwatkan Rasullah s.a.w telah mengqiqahkan untuk Al-Hassan dan Al-Hussain setiap seorang disembelih dua ekor kibas yang serupa dan setanding bentuknya.


Syarat Aqiqah
Agar aqiqah yang dilakukan mendapat pahala, disyaratkan semua seperti syarat korban dari sudut jenis, umur dan bebasnya haiwan itu daripada kecacatan yang menyebabkan kurangnya daging. Ini disebabkan aqiqah adalah sembelihan yang disunatkan maka ia sama dengan korban.


At-Tirmizi (1497) meriwatkan dan beliau mensahihkannya begitu juga Abu Darda (2802) dan ini lafaznya Abu Darda daripada Al-Barra’ bin ’Azib r.a daripada Rasullah s.a.w sabdanya ”Empat perkara yang tidak boleh ada dalam korban, cacat yang jelas kecacatannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas tempangnya dan tulang patah yang tiada sembuhnya”. Empat kecacatan ini dikiaskan kepada semua kecacatan yang menyerupainya yang menyebabkan ia kurus dan kekurangan daging.


Perbezan Antara Aqiqah Dan Korban

Terdapat beberapa perbezaan antara aqiqah dengan korban :

1. Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahayang dan khutbah Hari Raya ’Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.
2. Daging aqiqah boleh di beri milik kepada orang kaya menakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
3. Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, menakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s.
4. Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging aqiqah sunat disedekahkan setelah di masak.
5. Daging aqiqah sunat dimasak dengan manis-manis, dengan doa harapan agar agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.
6. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya menakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.
7. Tuntutan melakukan aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, menakala tuntutan melakukan korban ialah setiap tahun Hijrah

Friday, November 21, 2008



KEPADA SELURUH MAHASISWA KEDAH MARILAH BERAMAI-RAMAI MEMERIAH PERHIMPUNAN PELAJAR DAN MAHASISWA KEDAH BERSAMA Y.A.B MENTERI BESAR KEDAH. MAHASISWA PEMIMPIN MASA HADAPAN...........

Thursday, November 20, 2008

HEP CUBA MENCATUR…..


Terbaru pihak pentadbiran hal ehwal pelajar (HEP UKM) yang diketuai TNC HEP dan konco-konconya, akan menganjurkan kursus kepimpinan bagi bakal calon yang akan bertanding bagi Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 08/09, kursus yang akan diadakan ini adalah pertama kali dalam sejarah UKM bagi pilihan raya kampus yang dijalankan.


Notis yang dipaparkan sekitar pusanika berlegar sekitar HEP telah membuka ruang kepada mana-mana mahasiswa yang mahu bertanding wajib untuk mengikuti kursus ini, yang akan berlangsung pada 1-4 Januari 2009, dan kepada sesiapa yang berminat boleh mendapatkan borang di pejabat HEP sebelah pejabat Pos, tarikh akhir penghantaran borang ialah pada 19 disember 2008.


Pada pengamatan saya pada mulanya kursus ini mungkin memberi pendedahan kepada bakal-bakal calon yang akan bertanding dan dapat meningkatkan kredebiliti bakal calon. Tetapi yang menjadi persoalannya, yang secara zahirnya kita dapat melihat dan menilai(yang tersirat tak tahu lagi) mengapakah borang untuk menghantar kursus ini terakhir pada 19 disember 2008 sedangkan kursus diljalankan pada 1-4 januari, jangka masa yang panjang sebelum pergi kursus, kenapa tidak sampai buka sem depan saja(tak sempat nak catur kot) dan persoalan yang kedua kenapa pula tarikh akhir penghantaran borang pada 19 disember, sedangkan semua maklum tempoh itu merupakan cuti semester, siapa saja yang ada kat UKM, mungkin pelajar-pelajar yang hendak menyiapkan tesis, mungkin juga pelajr Sabah dan Sarawak yang tidak pulang ke kampong, mungkin juga……… siapa lagi kalau bukan jentera ASPIRASI yang disediakan penginapan untuk persiapan pilihan raya kampus akan datang.


Jelas disini percaturan diperingkat HEP untuk mengaturkan siapa yang layak untuk menjadi calon, paling menarik untuk mendapatkan keterangan mengenai kursus yang akan dianjurkan ini boleh menghubungi En Zambri dan Puan Rosma Ayu(kak yang Ayu tapi bakal layu). Kak Rosma Ayu tu baru saja dalam HEP tu tapi macam orang paling banyak tahu selok belok politik kampus UKM ni, belajar mana ek, dulu join gak ker PRK ni??? Nak caturkan siapa yang layak jadi PMUKM ker, takut berubah PMUKM lain ker.


Ni merupakan pemilihan wakil pelajar yang memilihnya dikalangan pelajar iaitu mahasiswa UKM bukan pemilihan pegawai HEP, ni tempat mahasiswa untuk berlatih dan belajar bukan ikut suka HEP nak catur mahasiswa sapa layak sapa yang tidak layak.


Pentadbiran sebagai orang yang menguruskan iaitu bagi memudahkan mahasiswa bukan mengongkong mahasiswa.

Monday, November 17, 2008

PERANAN KITA SEBAGAI PEMUDA PEMUDI...





Dah sepatutnya kena tegur… Bila lagi kalau tak sekarang… Dah sepatutnya kena sedar... Bila lagi kalau tak sekarang... Dah sepatutnya kena bertindak... Bila lagi kalau tak sekarang...

Apabila kau ditegur tentang kebaikan oleh rakan sebayamu. Anggaplah mereka ini kasihkan kamu, bukannya tunjuk baik. Apabila kau ditegur oleh orang muda dari kamu. Anggaplah itu kata-kata orang yang masih sedikit dosanya berbanding kamu. Apabila kau ditegur oleh yang lebih dari kamu. Anggaplah mereka ini telah banyak beramal daripada kamu.

Aku cuma mahu berkongsi apa yang berlegar di kepala aku sendiri.

Aku lihat…

Anak-anak muda apabila bergaul. Ntah apa-apa tah. Yang perempuannya free hair. Yang lelaki berseluar katok(apek). Lemahnya Islam apabila pemuda pemudanya berkelakuan begini.

Disaat ummat memerlukan kita. Memerlukan tenaga kita. Kita sibuk terkinja-kinja disana-sini. Masih mementingkan diri sendiri. Masih memikirkan bagaimana hendak menambah periuk nasi sendiri(bos).

Kita hanya cakap kata-kata kesat kepada pihak kafir; “Bodoh, celaka, laknat, siap ko, boikot barang ko, bakar bendara ko,buat demontrasi baru tau..(zizan)” Tapi apakah tindakan susulan kita wahai pemuda Allah? Sebelum kita dilahirkan dimuka bumi ini. Kita telah bersumpah mahu menjadi Khalifah dibumiNya. Makhluk-makhluk lain tidak punya upaya untuk memikul tanggungjawab ini. Cuma manusia yang angkuh ini yang berkata sanggup, kemudia kita diberikan jasad untuk memudahkan urusan-urusan dibumiNya.

Tetapi sekarang bagaimana??

HUhhh… Kalian masih terkinja-kinja dengan maksiat. Sanggup berdiri lama-lama dan juga di tengah hari semata-mata mahukan hiburan maksiat.

Dalam Al Quran terdapat banyak kisah pemuda dalam menegakkan kebenaran. Ada pemuda Ashabul Kahfi, pemuda Musa, pemuda Yusuf dan sebagainya. Renunglah kisah bagaimana keberanian seorang pemuda iaitu Nabi Ibrahim yang kisahnya terdapat dalam surah Al Anbiyaayat 60,

Mereka berkata:Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim”.

Ibrahim sememangnya menentang keras kebiasaan kaumnya yang menyembah sesuatu selain Allah. Ia mencela patung-patung sembahan mereka yang sama sekali tidak memberi manfaat dan hanya mendatangkan mudharat. Dalam surah Asy Syu’ara ayat 72, diceritakan bagaimana pemuda Ibrahim berdebat mengenai cara kaumnya berfikir.

“Berkata Ibrahim : “ Apakah berhala-berhala itu mendengar sewaktu kamu berdoa kepadanya?Atau (dapatkah) mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudharat?” Mereka menjawab, Sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian”.

Jelaslah bahawa mereka menyembah berhala-berhala itu kerana taqlid buta semata-mata, tanpa ilmu. Ibrahim lantas menjelaskan siapa yang sesungguhnya berhak disembah.

Berkata Ibrahim, (mulai ayat 77),

“Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan semesta alam. Yang telah menciptakan aku , maka Dialah yang menunjukkan aku dan Tuhanku yang Dialah memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkanku”.

Bukan hanya berdebat, malahan Ibrahim juga bertindak. Ayat dari surah Al Anbiya menceritakan,

” Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong, kecuali yang terbesar dari patung-patung yang lain, agar mereka (kaum itu) kembali bertanya kepadanya”.

Ketika mereka menangkap Ibrahim dan menuduhnya merosakkan berhala itu, Ibrahim meminta mereka untuk bertanya kepada berhala besar yang masih tertegak itu. Sudah tentu meraka tidak mahu melakukan kerana mereka tahu bahawa berhala itu tidak dapat berbicara.

”Kemudian mereka tertunduk (lalu berkata), “Sesungguhnya kamu Ibrahim telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara” (ayat 65). Akan tetapi mengapa masih disembah? “Ibrahim berkata,Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu?


Pemuda-pemudi di Awal Dakwah Islam.

Nabi Muhammad SAW ketika diangkat menjadi Rasul berumur empat puluh tahun. Pengikut beliau yang merupakan generasi pertama, kebanyakan merupakan golongan pemuda-pemudi malahan ada yang masih kanak-kanak. Mereka dibina oleh Rasullullah setiap hari di Darul Arqam. Diantaranya adalah Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam, yang paling muda, kedua-duanya berumur 8 tahun, Thalhah bin Ubaidillah (11), al-Arqam bin Abi Al-Arqam (12) Abdullah bin Mas’ud (14), yang akhirnya menjadi salah seorang ahli tafsir terkemuka, Saad bin Abi Waqqash (17), yang kemudiannya menjadi panglima perang Al-Qhadhisiah melawan kuasa besar Persia, Jaafar bin Abi Thalib (18), Zaid bin Haritsah (20), Mush’ab bin Umair (24), Umar bin Khattab (26), Abu Bakar ash Siddiq (37), Hamzah bin Abdul Muthalib (42), Ubaidah bin Al Harits yang paling tua diantara para sahabat, berusia 50 tahun. Dan masih terdapat puluhan ribu pemuda pemudi lain yang terlibat aktif dalam dakwah menegakkan panji-panji Islam di masa hidup Rasullullah. Umumnya, mereka adalah pemuda-pemudi, bahkan remaja yang baru meningkat dewasa. Dan tidak sedikit diantara mereka telah berperanan penting di usia mudanya. Usamah bin Zaid, ketika berusia 18 tahun, diangkat Nabi sebagai komandan pasukan Islam ketika menyerbu Syam. Padahal diantara pasukan Islam masih terdapat sahabat-sahabat seperti Abu Bakar Umar al- Khatab yang lebih tua darinya. Begitu juga Abdullah bin Umar. Jiwa perjuangan Islam telah menguasainya sejak umur 13 tahun. Suatu ketika Rasulullah ketika menyiapkan pasukan untuk perang Badar, datang kepada Rasulullah dua remaja Islam, Abdullah ibnu Umar dan Al-Baraq meminta agar diterima sebagai anggota pasukan Islam tetapi Rasulullah menolak kerana mereka masih kanak-kanak. Tahun berikutnya menjelang perang Uhud, mereka datang sekali lagi kepada Rasulullah untuk tujuan yang sama. Hanya Al-Baraq yang diterima. pada perang Ahzab barulah Ibnu Umar diterima sebagai anggota pasukan Islam (Shahih Bukhari).

Banyak juga dikalangan pemudi yang menjadi teras dalam perjuangan di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW seperti Siti Khadijah binti Khuwailid, Siti Aisyah binti Abu Bakar – isteri Nabi Muhammad SAW, Fatimah, Sumaiyah binti Khayyat, dan ramai lagi.


Pemuda pemudi gagah berani, yang hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemuliaan Islam dan pemuda pemudi seperti itulah yang sanggup memikul beban dakwah dan bersedia berkorbn menghadapi berbagai ujian dan siksaan dengan penuh kesabaran. Mereka mendapat kebaikan, keampunan dari Allah dan syurga yang tak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang muflih(beruntung).

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” ( At-Taubah : 88).


MASA DEPAN DI TANGAN ISLAM

Berdasarkan dalil-dalil yang kuat, diyakini Islam akan melingkupi seluruh dunia dimasa depan.

“Dialah yang mengutuskan rasulnya (dengan membawa ) petunjuk yang benar dan agama yang hak untuk dimenangkanNya diatas seluruh agama walaupun orang-orang musyrik membencinya “ ( At-Taubah: 33)

“Sesungguhnya Allah telah memberikan bagiku dunia ini, baik ufuk Timur maupun Barat. dan kekuasaan umatku akan sampai kepada apa yang telah diberikan kepadaku dari dunia ini”

(HR. Muslim)


Bila kejayaan Islam masa lalu muncul akibat dakwah Islam yang banyak ditunjangi oleh para pemuda pemudi Islam yang memiliki sifat dan sikap perjuangan yang gigih yang sanggup tanpa mengira siang dan malam demi kepentingan Islam. Maka demikian juga masa depan Islam. Sunnahtullah tidak pernah berubah. Siapa yang unggul dialah pemimpin ummat Islam masa lalu, terutamanya para pemuda pemudi unggul kerana mereka benar-benar memeluk Islam secara Kaffah, lurus aqidahnya dan penuh ketaatannya pada syariatnya. bagaimana dengan pemuda-pemudi Islam sekarang? Fikir sejenak.


Pemuda-pemudi Islam sekarang hidup dalam lingkungan jahiliah disekitarnya berlaku tentangan kehidupan tidak Islam dalam hampir semua aspek kehidupan, disertai dengan proses melenyapkan islam melalui media massa yang semakin berleluasa. Dari satu sudut mereka tetap muslim tetapi dari sudut yang lain, pemikiran ,perasaan dan tingkah laku dalam berpakaian, bergaul,bermuamalah telah banyak dicemari oleh pemikiran, perasan dan tingkah laku tidak islami yang kebanyakan bersumberkan dari khazanah pemikiran kafir Barat. Kafir Barat bersungguh sungguh melakukan proses pembaratan (westernisasi). Melalui racun sesat pemikiran Barat, mereka berusaha mempengaruhi dan membelokkan pemahaman kaum muslimin terutamanya kaum mudanya agar jauh dari nilai-nilai Islam yang murni. Di bidang ekonomi mereka mengembangkan kapitalisme yang berintikan asas manfaat. Menurut mereka, apa saja boleh dilakukan bila menguntungkan secara material, tidak peduli sekalipun ia bertentangan dengan aturan agama. Di bidang budaya menyebarkan nilai kebaratan (westernisme) yang berintikan nilai jahilliah. Bagi mereka tidak ada pantang larang, termasuk seks bebas, pakaian tidak senonoh, selagi tidak menggangu kepentingan orang lain.


Di bidang politik, penyebaran nasionalisme(semangat kebangsaan) yang menyebabkan kaum muslimin terpecah belah. Bila tidak waspada, pemuda pemudi Islam masa kini akan dengan mudah terasing dari deennya. Ajaran- ajaran Islam tentang pakaian , makanan, politik dan sebagainya, ditanggapinya sebagai fikiran dan seruan yang asing. Bila demikian keadaan pemuda-pemudi Islam sekarang, bagaimana akan dapat diharapkan kejayaan Islamdi masa depan sebagaimana telah dijanjikan Allah?


Dulu, (Imam) Syafii telah hafal Al Quran pada usia sekitar 9 tahun dan mulai diminta ijtihadnya pada usia kira-kira 13 tahun., sebelum akhirnya ia menjadi mujtahid, imam madzhab yang terkemuka.Hassan Al Banna mendirikan gerakan Ikhwanul Muslimin pada usia 23 tahun. Usamah bin Zaid pada usia 18 tahun telah memimpin pasukan perang Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam pada usia 8 tahun telah terlibat dalam perjuangan dan ramai lagi yang hebat2.


Kini, apakah yang sedang dilakukan dan difikirkan oleh remaja berusia 8 hingga 18 tahun dan pemuda-pemudi berusia 20 hingga 23 tahunan? Remaja dan pemuda-pemudi sekarang lebih banyak aktif untuk memuaskan nafsu remaja semata-mata. Fikirkan sejenak.


Lihatlah cara berpakaian mereka, cara bergaul, kreativiti dan seumpamnya. Gambaran remaja dan pemuda pemudi yang tampil di media, tak ada bezanya antara mereka (yang mengaku Muslim) dengan artis-artis lain, yang jelas menyebarkan kekufuran dan kesesatannya, realiti inilah yang terpampang di depan mata dan telinga kita.

Jelas, dan sangatlah jelas, perlunya kebangkitan umat, khususnya dari kaum mudanya, bila kita semua menginginkan kejayaan Islam kembali. Diperlukan pemuda-pemudi Islam sekualiti para sahabat yang memiliki komitmen tauhid yang lurus, keberanian yang tinggi dan menegak. Wallahua’lam

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP