Related Posts with Thumbnails

Wednesday, December 30, 2009

Perkara Hati...


Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang tidur biar sampai lena(ada ker). Genggam bara api, biar sampai jadi arang atau lagi hebat jadi abu. Biar putih tulang, jangan putih mata. Banyak lagi peribahasa yang boleh diambil menunjukkan kesanggupan dan semangat pengorbanan yang tinggi.

Semangat yang membara, berapi-api, keazaman yang utuh seringkali dikaitkan dengan anak-anak muda. Anak-anak muda seperti kita. Seperti air yang memerlukan takung agar tidak melimpah tanpa tujuan, semangat juga memerlukan taking(bekas) untuk ditampung dan menjadi matlamat perjuangan.

Pelbagai wadah dipilih oleh anak-anak muda yang bersemangat waja ini. Memperjuangkan bangsa, bahasa, agama, alam sekitar, malah binatang peliharaan seperti kucing dan anjing, mungkin. Dan sesudah jalan itu dipilih, maka berjuanglah mereka dengan sepenuh hati, mencurahkan setiap titik peluh. Hingga ada yang rela mengorbankan nyawa. Aktivis Reformasi tidak segan silu melalak meraung di jalan raya, menggadaikan masa depan, biar dibuang universiti atau disumbat ke Kamunting, biar ibu dan ayah menangis di kampung. Begitukah? Begitu, kan? Tetapi berapa orang yang begitu? Ini mugkin antara contoh perjuangan.

Melihat tulisan-tulisan aktivis maya terutama sahabat seperjuangan di bumi UKM, ya, sahabat-sahabat punya agenda perjuangan tersendiri dan memilih lapangan maya sebagai salah satu gelanggang, seringkalai saya tersenyum kekaguman. Alangkah hebatnya semangat sahabat, alangkah mantapnya ilmu yang sahabat-sahabat miliki (dipinjamkan sebenarnya), alangkah murninya iltizam dan niat sahabat-sahabat. Sebentar. Niat? Ya niat.. Hmm….

Sesungguhnya, lebih mudah menjaga fizikal daripada menjaga hati. Lebih mudah mengawal perilaku daripada berbuat maksiat daripada memelihara hati agar sentiasa persih dan tulus. Kerana hati itu terlalu mudah tergelincir, kerapkalinya tanpa disedari oleh tuan punya hati, sehingga setelah hati itu gelap berkarat barulah terasa silapnya, dan mungkin ketika itu sudah terlalu payah untuk kembali.

Setiap amalan itu dikira dengan niat. Dan niat itu tidak lain, kemuncaknya perlulah untuk memperoleh keredhaan Allah S.W.T. Walau dengan apa medium sekalipun. Walau dengan perjuangan apa sekalipun sebagai caranya. Dan ingat, kalau niatnya silap, maka perjuangan semulia manapun, boleh saja hilang nilainya. Sebagaimana dia yang kononnya syahid di medan perang pada zahirnya, tetapi mungkin saja dicampak ke neraka kerana niat untuk kebanggaan peribadi.

Jangan pula lupa, mudah sekali untuk menderhaka dalam taat. Kita rasa yang kita sedang melakukan sesuatu yang mulia, yang suci, tetapi sebenarnya niat sudah terpesong. Gah benar suara kita mempertahankan agama. Dan kita berasa bangga dengan apa yang kita lakukan, yakin bahawa Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmatNya dan memberi kemenangan kepada kita. Tetapi sebentar. Betulkah niat kita untuk mendapat keredhaan Allah? Semata-mata?

Dalam masa yang sama, benar, yang berhijab itu benar dan yang tidak berhijab itu silap. Yang memperjuangkan Islam dengan cara yang betul itu benar dan yang menentangnya itu silap. Harus ingat, yang saya bicarakan di sini adalah perkara hati. Niat dan keikhlasan. Hidayah, taufiq, dan kemudahan yang dikurniakan untuk kita berjuang di jalanNya adalah milikNya, yang boleh saja ditarikNya bila-bila masa andai kita angkuh, lagi tidak bersyukur, atau menderhaka dalam waktu kita perasan-perasan sedang taat. Mohon dijauhkan Allah hendaknya.

Sama-samalah kita memohon kepada Allah, yang memegang hati-hati kita semua, agar menetapkannya menyatukannya dalam jalan yang Dia redhai.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, janganlah kiranya engkau pesongkan hati-hati kami, setelah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk, anugerahkanlah kepada kami akan rahmat, kerana sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pengurnia. (Ali Imran , ayat 8)

Peringatan ini dikhaskan untuk saya, dan sahabat-sahabat yang bersemangat bara mencurahkan segalanya luar sana.
Dan Allah Maha Mengetahui.

Salam perjuangan, kaki cuba mengatur langkah .


Monday, December 28, 2009

Hentikan khidmat bas ekpres malam???


Tahun 2009 yang hampir berlalu ini kita telah dikejutkan dengan nahas bas dua tingkat Sani Ekpress di lebuh raya utara selatan arah utara menuju ke Perlis, kira-kira 8 kilometer dari plaza tol Ipoh Selatan dan telah mengorbankan 10 orang penumpang dan dua orang yang parah. Sebelum pada tahun ini juga membabitkan bas dua tingkat AB ekpress dari Alor Setar menuju ke Kuala Lumpur juga di lebuh raya Utara Selatan dekat bukit beruntung, rawang dan telah mengorbankan 5 penumpang dan juga pemandunya. Sebelum-sebelum ini juga banyak tercatat kemalangan yang buruk melibatkan bas ekpress.

Seperti biasa, apabila berlaku nahas ngeri seumpama itu banyak pihak membuat pelbagai kenyataan sama ada mengenai siasatan, amaran, cadangan atau hukuman yang kemudian sepi semula sehingga nahas baru berlaku. Jabatan Keselamatan Jalan Raya mencadangkan supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai, manakala Menteri Besar haram Perak, Zambry Abdul Kadir meminta Kerajaan Pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Walaupun mengantuk ada kalanya menjadi punca nahas, menghentikan perkhidmatan bas ekspres pada tengah malam bukanlah kaedah terbaik kerana ia tidak menjamin kemalangan kenderaan itu tidak berlaku. Sebaliknya, ia mungkin menimbulkan kesulitan kepada penumpang yang memilih perjalanan malam untuk menjimatkan waktu sama ada bagi berurusan ke tempat masing-masing. Bagi sebahagian besar rakyat negara ini perkhidmatan bas ekspres masih lagi menjadi pilihan utama untuk perjalanan jauh terutama kepada pelajar dan juga pekerja yang diluar kawasan mereka. Siang atau malam bukanlah masalah pokok kerana yang lebih penting ialah penguatkuasaan yang tegas serta pemeriksaan berkala sama ada terhadap syarikat bas, kenderaan atau pemandu mereka sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan. Dikatakan 16,000 bas dan berkhidmat ke 3,700 destinasi di Amerika Syarikat turut beroperasi pada waktu malam. Namun, kadar kemalangan ngerinya tidak seteruk negara ini, walaupun perjalanannya lebih jauh.

Daripada menghentikan perjalanan malam, adalah baiknya jika pihak dan agensi berkaitan memikirkan strategi jangka panjang bagi perkhidmatan bas ekspres dan kenderaan berat, yang sering terbabit atau menyebabkan dalam nahas ngeri di negara ini. Tiada gunanya semua pihak bising selepas berlaku kemalangan, tetapi diam selepas itu. Di sesetengah negara maju, mereka merangka dan melaksanakan strategi keselamatan jalan raya untuk tempoh panjang sebelum ia dikaji semula. Jika perkara lain kita cuba untuk meniru cara pengurusan Negara maju, kenapa dalam hal ini kita tidak pernah serius untuk menjadikan negera maju sebagai contoh.

Di New Zealand misalnya, belum pun Strategi Keselamatan Jalanraya 2010 berakhir, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan di negara itu sudah memulakan strategi baru sehingga 2020 dalam memastikan pengangkutan awam di sana memberi keselesaan dan keselamatan pada kadar yang mampu dibayar rakyatnya. Majlis Pengangkutan Australia yang dianggotai wakil Kerajaan Pusat, negeri dan wilayah, pula mempunyai Strategi Keselamatan Kenderaan Berat 2003-2010 dengan tumpuan khusus mengurangkan kematian dan kecederaan akibat nahas kenderaan berat. Barangkali sudah tiba masanya Malaysia juga merangka strategi jangka panjang seperti itu dalam menangani nahas jalan raya di negeri ini daripada mengulangi kenyataan sama setiap kali berlaku kemalangan ngeri yang menyebabkan ramai terkorban.

Sunday, December 27, 2009

Anugerah pelakon terbaik.... tapi kena perbaiki lagi..


muka pun dah nmpak UMNO


banner ni lebih kurang banner sokong ISA dulu



buat hari cuti, lengang mana ada orang (takut ker)



muka macam belakon ja bro


ada perkataan MELAYU kat banner tu sah UMNO


buat apa tutup muka tu "malu ker"


Ni antara pelakon yang dibayar oleh UMNO, kesian ja tengok, semua orang boleh menilai, lepas ni kena panggail pengarah yang betul bagus la jadi pengarah, baru nampak real sikit, macam Yusof Haslam ker... lagi satu kalau nak buat demo buat masa orang bekerja, baru ada orang sikit.. bayar la ramai lagi buat macam filem bollywood tu... teruskan usaha anda, nantikan filem seterusnya, harap ada penambahbaikan...

Wednesday, December 23, 2009

Kita Jatuhkan atau Kita Bangunkan atau Kedua-duanya Sekali?


Sahabat-sahabat sekalian,

Cuba sahabat semua bayangkan…

Pada suatu hari saya kumpulkan sahabat semua di suatu tempat,lalu saya letakkan sebuah bangku di hadapan sahabat semua. Saya berikan sahabat semua peralatan-peralatan menulis.
Diingatkan,sahabat semua adalah kumpulan sulung dalam ujian ini diberikan ruang.

Lalu saya meminta sahabat semua mengkritik bangku tersebut.
Kritiklah sepuas hati sahabat semua.

Pada ketika itu,yang hanya tampak hanyalah kepincangan semata-mata.
Lembaran demi lembaran diperlukan…

Itu salah, ini tak kena, kena tambah sini dan sana…

Tamat waktu untuk mengkritik.

Nah,sekarang tiba masanya sahabat sekalian gunakan kritikan-kritikan itu untuk mengubahsuai bangku tersebut agar melepasi kritikan sahabat semua.

Selepas siap,lalu saya persilakan pakar-pakar pengkritik yang merupakan kumpulan kedua untuk mengkritik hasil pengubahsuaian sahabat sekalian.

Terlopong mulut sahabat semua kerana banyak kritikan yang panas lagi pedas menghujani hasil pengubahsuaian sahabat sekalian.

Oleh sebab saya sendiri juga tidak tahan mendengar sahabat sekalian dikritik,lalu saya meminta mereka semua mengubahsuai bangku tersebut.

Tapi malangnya mereka tidak mampu kerana mereka hanya pakar mengkritik.

Tidak mengapa.Lalu saya jemput pakar-pakar dalam bidang pertukangan dan perabot untuk melakukan sesuatu.Mereka ini kumpulan ketiga.

Pantas mereka menjalankan tugas lalu berjaya mengubahsuai sebuah bangku yang sahabat sekalian termasuk saya sendiri tidak pernah terfikir.

Jadi,sahbat sekalian ingin menjadi kumpulan yang mana?

Ermm ,jawapan untuk soalan ini tidak mempuyai had.

Lakukan sesuatu dan sejahtera untuk semua. Jadilah pengkritik yang baik yang punyai alternatif yang sepatutnya dan bersesuaian.

Selamat menjalini muktamar (kawasan) masing-masing…….

Friday, December 4, 2009

"AIR TANGAN"


Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan "air tangan". Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak "terlarut" bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah "air" dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan "air tangan". Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Sempat saya pulang ke kampung dan makan makanan yang disediakan ibu, ini adalah satu nikmat bagi seorang anak, dan saya juga merasakan semua orang merasakan begitu terutama bagi mereka yang bergelar “orang penting” khusus dikalangan mahasiswa, khusus lagi kepada sahabat-sahabat seangkatan sekalian. Masa cuti yang ada digunakan semaksimun mungkin untuk merasa bersama keluarga, dan kenikmatan itu dapat untuk dirasai.

Sebenarnya "air tangan" ibu adalah lahir dari keikhlasan dan kasih kepada anak-anaknya, tiada kepentingan tertentu disitu, semua dilakukan dengan hati tulus murni. Hasil daripada itulah membentuk dan terus mendidik anak-anak. Realitinya, "air tangan" bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat dan sebagainya.

Kepada sahabat-sahabat bergelar pemimpin, ikhlaskanlah dalam melakukan gerak kerja dan terus menerus, saya percaya kesan dari “air tangan”yang ikhlas ini akan memberikan bekas kepada apa yang kita lakukan.

Mungkin “air tangan” yang kita lahirkan ialah dari sudut gerak kerja dan juga penjanaan idea dalam penerus kepada sesuatu yang telah dimulakan. Jika mungkin sekarang ini adalah masa kepada penukaran pimpinan, jadi inilah medan terbaik kita untuk bermuhasabah, adakah “air tangan” yang kita lakukan selama ini lahir dari hati yang ikhlas?? Dan apakah pula hasilnya dari “air tangan” yang kita lakukan ini??

Kepada sahabat-sahabat yang akan bergelar pemimpin pula, mulakanlah dengan “air tangan” yang ikhlas, jika pada masa sekarang ini perlunya kita menerima sessuatu amanah, jangan sesekali menolak dengan alasan yang sudah menjadi “adat” untuk mengelak.

Jadilah seperti ibu, menerima kedatangan anak-anak sebagai suatu amanah dari Allah dan mendidik dan membesar menggunakan “air tangan” yang ikhlas, sepatutnya juga kita merasakan begitu. Sama-samalah kita lahirkan “air tangan” yang tulus dari hati agar kesannya dapat dirasai, mungkin tidak pada waktu sekarang kesannya tetapi mungkin pada masa akan datang.

Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.


Wednesday, December 2, 2009

Ita janji tak buat lagi.. Abah… bagi la balik tangan Ita

Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.

Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,l akaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya...kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?"

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan "Tak tahu... !"

"Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik siisteri lagi. bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan!" katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas si bapa masu ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. dilihatnya tapak tangan Justify Fulldan belakang tangan si anak kecil calar balar.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. "Ita demam... " jawap pembantunya ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. "Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.

Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua- dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya.

Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.
"Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya ...

ni cerpen pendek yang saya amik dari sebuah laman blog untuk dikongsi bersama. pengajaran kepada yang bakal kepada menjadi ibu dan ayah.. sekarang ini musim orang mengawin, ramai yang sedang dan mahu mendirikan rumah tangga, jadi ingatan kita bersama. zaman sekarang kebendaan yang dicari, harta dijadikan barang kesayangan, ramai pula yang mengabaikan anak-anak, penderaan sudah menjadi kebiasaan. baru saja membaca berita tentang kematian seorang kanak-kanak dipukul bapa sendiri.. sedih dan geram sungguh...


sayang anak dengan hati...sayang harta ala kadar cukup..harta takkan mendoakan kita bila sudah tiada di dunia.. anak yang soleh yang diharapkan ke kubur bukan harta benda menjadi mengiringi bersama..

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP