Related Posts with Thumbnails

Monday, February 22, 2010

Merentas Semua Kampus

Friday, February 5, 2010

Ada apa dengan MARAH


Bagaimana rasa kita bila orang kita percaya untuk membantu kita, dan memberi keyakinan pasti dapat membantu tetapi hanyalah kata-kata pemanis bicara? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bvila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan kita? Atau menggunakan kita apabila waktu-waktu tertentu demi kepentingan peribadi? Dan banyak lagi atau yang boleh kita keluarkan. Jawapan untuk semua ini… JANGAN MARAH!

Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik, bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan orang laain.
Menurut ajaran Islam yang kita semua maklum, kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang, sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah, degupan jantung, aliran darah, mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa(belajar dari budak2 FST). Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap… Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”

Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya.

Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.

Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.

Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi diri hiasi peribadi. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!

Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.

Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai ’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkanNya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…

Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

Wednesday, February 3, 2010

Terkuburnya demokrasi di kampus


Melihat suasana selepas pilihanraya yang lepas, banyak perkara yang telah berlaku jika diikuti dari dekat. Semasa hari pengundian dan pengumuman calon yang menang bertanding banyak penyelewengan yang telah berlaku.

Pada malam pengumunan melihat kepada kebangkitan mahasiswa menuntut hak mereka, dengan mengepung pusat pengjumlahan undi, untuk meminta penjelasan. jika hal ini dianggap ganas dan radikal, maka kesilapan besar berlaku, sepatutnya malam itu juga semua pihak pentadbiran perlu jawab dan sesekali jangan pulang sebelum memberi penjelasan kepada mahasiswa tetapi pada malam itu, mahasiswa berundur mengambil pendekatan menyerah tanpa paksaan.

Akibatnya sehingga hari ini mahasiswa diperbodohkan dengan pihak pentadbiran. Mereka menyuruh mahasiswa mengikut ruang undang-undang yang ada, gunalah panel yang ada untuk selesaikan perkara ini, semua prosedur telah diikuti, apabila hari ini keputusan yang keluar hasil daripada rayuan yang dibuat , semuanya ditolak mentah-mentah tanpa alasan yang munasabah, sedangkan lampiran bukti yang kukuh telah disertakan.

Bagi pihak mahasiswa menuntut untuk berdialog dengan pihak pentadbiran juga tidak dilayan, adakah ini yang selalu dilaungkan pihak pentadbiran kita satu keluarga, mana mungkin dalam keluarga ayah sendiri tidak mahu untuk berjumpa dengan anak sedangkan anak menghadapi masalah yang cukup kritikal, siapa lagi tempat untuk anak-anak ini mengadu. Kadang-kadang anak terpaksa menganggap ayah sebenarnya tidak pernah wujud, yang ada sebenarnya ialah “pengasuh-pengasuh” yang tidak bertanggungjawab hanya menunggu habuan yang akan dapat.

Inilah demokrasi kampus yang wujud sekarang, suara mahasiswa sebenarnya tiada tempat dihati pihak pentadbiran. Mereka menganggap mahasiswa tiada hak untuk menentukan apa-apa keputusan dan sesekali jangan cuba menegur pihak pentadbiran. Mahasiswa hanya perlu ikut segala yang telah ditentukan.
Pada pandangan saya demokrasi kampus sudah lama mati dan hari ini, demokrasi ini telah pun dikuburkan, ucapan tahniah kepada pihak pentadbiran kerana menjalankan tanggunggjawab dengan baik (fardhu kifayah). Bermula dari membunuh demokrasi, mengkafankan sehinggalah dikebumikan.

Jika pada masa akan datang kami mahasiswa yang sedar diberi peluang untuk mentadbir dan memerintah Negara nescaya, orang-orang yang menyekat suara mahasiswa inilah yang akan ketepikan, kerana mereka telah membunuh jiwa pemimpin yang ada dikalangan mahasiswa dan seterusnya merugikan Negara.

Oleh itu kepada seluruh mahasiswa marilah sama-sama kita berkabung menangisi demokrasi yang telah mati,dengan kebangkitan mahasiswa selepas ini kita mengharapkan akan lahir selepas ini demokrasi yang baru, memberi sinar cahaya kepada mahasiswa kelak. Justeru itu, mahsiswa yang punyai kesedaran perlu kejutkan mahasiswa lain untuk meletakan suara mahasiswa pada tempatnya.

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP