Related Posts with Thumbnails

Tuesday, April 27, 2010

KENYATAANGAMIS BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID MEDIA


KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS)
BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID

Pendahuluan


Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid, 15 tahun, pelajar Sekolah Menegah Seksyen 7, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun namun dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 7, beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.


Pendirian GAMIS :


Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan tambahan pula, kalaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana kerana masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam. Kemungkinan ianya turut menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam kenyataan media sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, prkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesa agar kita kita membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.


Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin menugcapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Thursday, April 22, 2010

GAMIS bantah BLAIR ke Malaysia


Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) membantah sekeras-kerasnya kehadiran Perdana Menteri Britain, Tony Blair ke Malaysia.Menurut sumber, sebuah syarikat Success Resources yang berpengkalan di Singapura dan juga beroperasi di Malaysia akan menjemput bekas Perdana Menteri Britain , Tony Blair untuk menyampaikan ceramah di National Achieves Congress 2010 Pada 24 hb April 2010 .

Menurut Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris Mohd Yussoff, penghormatan terhadap Blair sebagai penceramah dalam kongres tersebut seolah-olah menunjukkan betapa pihak penganjur tidak sensitif terhadap penderitaan berjuta rakyat Iraq, mangsa yang tidak bersalah akibat tindakan jenayahnya dan perasaan rakyat Malaysia yang menyokong mereka sepenuhnya. Bantahan ini dibuat atas dasar Blair adalah penjenayah dan pembunuh besar kerana bersekongkol dengan bekas Presiden Amerikat Syarikat , George Bush yang menjadi arkitek dan bertanggungjawab merencana dan melaksanakan pencerobohan ke atas Iraq. GAMIS memandang jemputan Tony Blair ke Malaysia ini, ianya seolah-olah satu penghinaan kepada pencinta keamanan di seluruh dunia.

Tony Blair sebenarnya telah mencabuli prinsip paling asas undang-undang antarabangsa dengan menceroboh Iraq, dan secara berterusan mempertahankan pencabulan Israel ke atas Palestin, ini sudah menjadi satu ironi Blair.

"Dalam keadaan hati rakyat Malaysia yang masih luka dengan penglibatan syarikat Yahudi APCO Worldwide dan Asiasoft dalam pentadbiran negara serta pendirian Perdana Menteri selepas bertemu Barack Obama berkaitan Afghanistan dan Iran, isu ini seola-olah menambah luka di hati kita. Pihak Success Resources seolah-olah tidak memandang kepada sensitiviti rakyat ini serta pejuang keamanan seluruh dunia. Tony Blair sepatutnya berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas jenayah kejam yang dilakukan olehnya, bukan mendapat penghormatan sebegini," kata Mohd Idris.

Justeru, GAMIS sebagai sebuah NGO mahasiswa Islam yang turut bersama-sama dengan NGO-NGO lain dalam Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa agar pihak penganjur membatalkan syarahan itu bagi menghormati permintaan dan perasaan rakyat Malaysia dan menyeru orang ramai supaya mengadakan demonstrasi terhadap kunjungan Blair.Kepada mereka yang mampu untuk mendekati Blair diseru untuk menguatkuasakan tangkapan ke atas beliau kerana tindakan beliau melakukan jenayah kemanusiaan. GAMIS turut menggesa pihak kerajaan Malaysia agar mengharamkan penjenayah perang seperti Blair dan Bush daripada memasuki Malaysia.

Blair dikecam di seluruh dunia semenjak pencerobohan Amerika Syarikat-Britain terhadap Iraq pada tahun 2003 yang telah mengakibatkan kekejaman terhadap rakyat Iraq dan kemusnahan sepenuhnya tanah air mereka. Lebih daripada 1 juta orang mati akibat daripada peperangan itu. Hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal, 2.7 juta di dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah.

GAMIS tetap bertegas dengan pendirian, mana-mana agensi dan juga pemimpin negara yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Yahudi tidak boleh diterima sama sekali dengan cara apa sekalipun.

Sunday, April 18, 2010

Pendirian GAMIS berkaitan isu APCO


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) dengan ini bertegas dengan pendirian membantah sepenuhnya berkaitan isu kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara diperingkat antarabangsa.

Usaha yang dilakukan kerajaan ini, adalah untuk menaikkan imej negara dalam masa yang sama untuk menarik pelabur asing masuk. Walaupun perkara ini mungkin memberi nilai positif, namun hakikat yang perlu disedari ialah jelasnya syarikat ini dimiliki oleh golongan yahudi yang sememangnya tiada agenda lain untuk memusuhi ummat Islam.

Diperingkat GAMIS, kami amat rasa begitu terkilan dengan isu ini, perbelanjaan yang perlu dibayar pada syarikat ini dianggarkan mencecah RM 77 juta setahun dan jumlah ini diakui sendiri Menteri Dalam Negeri Dato` Seri Hisyamuddin. Sedangkan nilaian ini amatlah begitu besar kepada rakyat Malaysia dalam keadaan ekonomi negara yang agak kurang stabil pada ketika ini.

Presiden GAMIS Sdr Idris Yussoff dalam kenyataan, pada masa sekarang negara Israel adalah Negara yang tidak sama-sekali diiktiraf di dunia Islam malah menjadi ancaman bagi ummat Islam, tetapi sebaliknya kerajaan Malaysia sanggup untuk menerima agen yahudi ini sebagai perunding imej kepada Negara dengan bayaran yang tinggi, ini amat memalukan. Sepatutnya kerajaan perlu menghormati hak rakyat dan mengutamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu.

"Kami mahasiswa Islam betegas dengan prinsip bahawa tidak sesekali setuju dengan penggunaan APCO sebagai perunding imej bagi kerajaan Malaysia pada hari ini, tindakan kerajaan Malaysia ini seolah-olah, kita Malaysia berpura-pura kononnya sayang dan simpati kepada saudara kita di Baitul Maqdis, sedangkan golongan yahudi inilah yang membunuh ummat Islam Palestin". Tegasnya ketika berucap pada himpunan menbantah APCO di Kuala Lumpur.

Pendirian yang sama dinyatakan Pengerusi GAMIS Perak iaitu Sdr Syukri yang mewakili suara para mahasiswa di negeri tersebut.

"Kami dengan tegas menyatakan pendirian anak-anak muda negara, bahawa tindakan kerajaan tersebut merupakan sesuatu yang amat dikesali. Bukan sahaja wang rakyat disalurkan untuk dibayar kepada pihak yang tidak betul, malah seolah-olah menampakkan umat Islam di rantau ini sudah semakin redha dengan tindakan rejim ganas zionis terhadap umat Islam Palestin di Gaza. Rahsia-rahsia negara juga sudahpun diketahui oleh pihak luar yang sememangnya membuka ruang ancaman keselamatan seluas-luasnya kepada negara". Jelasnya ketika perhimpunan membantah APCO diadakan di Perak baru-baru ini.

Pendirian GAMIS, kami sesekali tidak akan berkompromi berkaitan dengan usaha dan kerjasama kerajaan Malaysia dengan mana-mana agen yahudi. GAMIS sebagai sebuah badan pertubuhan NGO juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak mahupun agensi bagi menghalang kemasukan agen yahudi ke Malaysia.

DEMOKRASI: Suara Mahasiswa Berhak Sampai di Hulu Selangor


Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal berlangsung tidak lama lagi memberi kesan yang agak besar kepada parti yang masuk bertanding. Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (GAMIS) dengan ini menyeru kepada rakyat Hulu Selangor agar membuat keputusan dengan bijak pada pilihanraya kecil kali ini.

Pilihanraya kecil pada kali mempunyai signifikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang situasi politik negara berada pada tahap yang agak membimbangkan. Disini perlunya demokrasi sebenar ditonjolkan, rakyat yang berhak untuk menentukan keputusan pilihanraya ini.

Isu yang berlegar di dalam negara pada ketika ini sudah semestinya akan “diturunkan” di Hulu Selangor, isu-isu sekarang antaranya berkaitan dengan hubungan luar Negara, isu ekonomi, isu agen yahudi(APCO) dan sebagainya, ternyata isu-isu ini yang akan dipentaskan pada pilihanraya kecil kali. Disini rakyat akan menilai semua isu yang berlegar dan memilih calon yang terbaik.

GAMIS juga mengharapkan nilaian untuk mengundi bukan hanya melihat individu yang akan bertanding, tapi jauh dari itu ialah parti yang akan bertanding. Agenda parti akan diperjelaskan disini untuk mendapat perhatian dari rakyat. GAMIS percaya rakyat Hulu Selangor matang dalam membuat keputusan.

Kepada mahasiswa, GAMIS dengan ini menggesa agar sama-sama tidak melepaskan peluang pada pilihanraya kecil kali ini untuk mendekatkan diri kepada masyarakat. Peranan mahasiswa juga penting dalam memberikan penjelasan kepada rakyat tentang demokrasi yang sebenar. Isu-isu yang berlegar juga, mahasiswa boleh menjadi agen maklumat yang baik untuk masyarakat mendapatkan penjelasan.

Menyedari hakikat tentang perlunya demokrasi yang adil dan bersih dalam pilihanraya, mahasiswa juga mempunyai hak dalam menyuarakan pandangan dan pendapat. Suara mahasiswa perlu untuk didengari oleh masyarakat di Hulu Selangor.

Wednesday, April 14, 2010

Kenyataan Media: GAMIS BANTAH PENDIRIAN NAJIB ISU AFGHANISTAN


Gabungan Mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS) memandang serius keputusan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk menghantar bantuan ke Afghanistan setelah mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

GAMIS menandang isu ini perlu diberi perhatian, tindakan tersebut agak terburu-buru memandangkan isu Afghanistan yang belum selesai sehingga hari ini. Amerika dilihat seolah-olah terdesak mahukan Malaysia bersama terlibat setelah banyak negara menarik balik tentera pengaman mereka keluar dari Afghanistan. Malaysia seolah-olah akan menjadi mangsa keadaan di samping akan dilihat sebagai boneka Amerika dalam isu ini setelah krisis di Afghanistan masih tidak dapat diselesaikan.

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Yussoff, Dato' Seri Najib tidak boleh terburu-buru dalam isu ini. Walaupun atas nama kemanusiaan sekalipun, dunia akan melihat Malaysia seolah-olah ingin ditarik oleh Amerika dalam kes yang mereka sendiri cipta, ini kerana isu ini masih menemui jalan buntu untuk menyelesaikannya. Malaysia juga perlu mengambil berat aspek keselamatan negara serta wakil yang akan dihantar memandangkan ancaman dari al-Qaeda sebelum ini yang telah mengisytiharkan perang terhadap mana-mana negara yang mahu bersengkongkol dengan Amerika walaupun atas alasan bantuan kemanusiaan dan latihan.

"Amerika dilihat begitu tedesak dalam isu Afghanistan ini. Dalam keadaan negara-negara seperti Perancis, Kanada, Korea Selatan dan lain-lainnya menarik balik tentera pengaman di Afghanistan setelah mendapat tekanan dari masyarakat dunia yang mengutuk tindakan tersebut, tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia telah membuat keputusan yang seolah-olah ingin menarik Malaysia untuk terlibat dalam isu yang dimulai oleh kezaliman dan kerakusan Amerika itu" berkata Idris lagi.

GAMIS berharap Perdana Menteri mempertimbangkan dalam aspek keselamatan wakil yang akan dihantar ke sana memandangkan masyarakat dunia pada hari ini dapat melihat ancaman yang diterima di sana. Jumlah askar negara luar yg maut atas alasan untuk tujuan pembangunan dan latihan adalah tinggi. Hal demikian termasuklah dari Australia seramai 11 orang, Britain 270,Kanada 140,Denmark 31,Belanda 43,Perancis 41,Jerman 43, Itali 22,Romania 12,Spannyol 17,Turki 3,Amerika Syarikat 951 dan ramai lagi yang tidak dinyatakan jumlahnya di sini.Manakala yang cedera dan cacat pula melebihi 5000 orang. Ini merupakan angka yang tinggi dan perlu dimaklumkan kepada umum.

Mengikut kajian oleh Pew Global Attitudes, menyatakan daripada 47 negara, hanya 2 negara yang rakyatnya menyokong peperang di Afghanistan melebihi 50% iaitu Israel 59% dan Kenya 60%. Yang lain semua majoriti rakyatnya tidak menyokong penuh. GAMIS juga yakin rakyat Malaysia juga tidak menyokong sama sekali.

GAMIS turut mengutuk pendirian bersama Perdana Menteri Malaysia serta Presiden Amerika Syarikat di Washington dalam isu pembangunan Nuklear Iran kerana Malaysia seolah-olah dilihat hanya mengangguk atas beberapa pendirian Amerika. Pendirian Amerika dalam isu nuklear ini dilihat tidak adil kerana seolah-olah memejam mata dalam isu yang melibatkan sekutunya termasuklah Israel.Begitu juga keadaannya isu APCO di Malaysia yang sedang hangat diperkatakan kerana bersangkut paut dengan agen Yahudi , perkara ini juga tiada jawapan yang jelas dari Perdana Menteri, pendirian-pendirian Perdana Menteri di Washington seolah-olah menambahkan lagi barah kepada rakyat Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan masih berada di Washington untuk menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Modified by Blogger Tutorial

warna-warna pencerahan ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com Blogger Styles

TOP